Sabah tidak sertai Piala Malaysia 2020

0
398

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SABAH mengesahkan tidak dapat menyertai saingan Piala Malaysia 2020 yang dijadualkan bermula 6 November ini selepas permohonan laluan khas buat skuad bola sepak negeri itu tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, MKN juga tidak memberikan Sabahawks pelepasan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan dari 27 Oktober lalu hingga 9 November ini.

“Permohonan pengecualian yang tidak diluluskan MKN ini turut menyebabkan perlawanan antara Sabah dan UiTM FC dalam Liga Super 2020 yang ditunda ke Sabtu ini dan dipinda ke Stadium Hang Jebat, Melaka, tidak dapat dimainkan.

“Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur – KLIA pada hari ini) telah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah singkir) Piala Malaysia.

“Justeru UiTM FC diberikan kemenangan percuma 3-0 dan pasukan yang bakal diundi bertemu Sabah dalam pusingan pertama Piala Malaysia, turut diberikan kemenangan 3-0 dan layak automatik ke suku akhir,” katanya dalam laman Facebook rasmi MFL hari ini.

Sabah mula menyertai Piala Malaysia pada 1978 sebagai juara Zon Borneo 1977 yang meliputi Sarawak dan pasukan jemputan luar negara, Brunei.

Walau bagaimanapun Sabah akan kekal sebagai pasukan Liga Super bagi musim 2021 malah tiada hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan itu disebabkan masalah penyertaan dan kebenaran MKN itu, tegas Ghani.

SABAH bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto terpaksa akur melupakan Piala Malaysia mulai 6 November ini kerana tidak mendapat kebenaran MKN.

Piala Malaysia juga katanya hasil keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Ke-23 MFL hari ini, akan kekal berlangsung seperti yang dijadualkan dengan 15 pasukan sahaja dengan majlis undian pertandingan antara yang tertua di Asia itu ialah Ahad ini.

Mengenai pasukan-pasukan yang terbabit dengan PKPB, MFL kata beliau, akan cuba membantu mereka dalam proses untuk bermain di gelanggang-gelanggang dalam zon hijau pandemik Covid-19.

“Sudah pasti kepatuhan tatacara pelaksanaan piawai (SOP) sentiasa menjadi agenda utama kami dalam situasi Covid-19 sekarang selain sebagai tanggungjawab bersama dalam menjayakan Piala Malaysia 2020,” katanya.

Gara-gara pandemik itu, formatnya turut terpaksa diubah kepada kalah singkir tanpa timbal balik melibatkan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima terbaik Liga Perdana musim ini (kecuali pasukan pengumpan).

Pusingan pertama dari 6 hingga 8 November diikuti suku akhir 12 dan 13 November, separuh akhir 17 November dan perlawanan akhir 22 November.

Ghani berkata, MFL juga memutuskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super 2021 kekal seperti biasa iaitu tiada penyingkiran buat dua pasukan corot Liga Perdana 2020 selepas saingan Liga M3 musim ini dibatalkan pada 8 Jun lalu.

“Tiada penurunan pasukan Liga Perdana 2020 tetapi dua pasukan di anak tangga ke-11 dan 12 Liga Super 2020 diturunkan ke Liga Perdana 2021 manakala dua pasukan terbaik Liga Perdana 2020, dinaikkan ke Liga Super 2021) kekal seperti biasa,” katanya.

Dua pasukan Liga Super yang diturunkan itu ialah Felda United dan Polis Diraja Malaysia sementara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dinaikkan ke Liga Super 2021.

Terengganu FC II naib juara Liga Perdana 2021 tidak layak kerana bertaraf pasukan pengumpan seperti mana Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor 2 dan Perak 2.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here