Saya tidak pernah letak tembok pemisah – Cik Man

0
514
BILAL Kamal ( Cik Man) dan Iman (Hisyam Hamid) dalam satu babak Telefilem “Iman Hakiki”

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA menyebut nama PU Azman atau Cik Man pasti terbayang di mata anda seorang lelaki yang sering tampil berjubah dan berkupiah sesuai dengan gelarannya sebagai Juara Pencetus Ummah (PU) musim ke-2 yang dianjurkan astro Oasis pada tahun 2014.

Walaupun dari air mukanya nampak bersahaja orangnya tetapi mungkin ramai yang mentafsirkan beliau seorang yang sukar diajak berbicara apalagi jika tidak pernah bersua muka.

Namun setelah berbual dengannya melalui telefon untuk 10 minit pertama pemilik nama sebenar, Azman Shah Alias adalah seorang yang peramah, petah berbicara hingga tidak sedar sesi interbiu itu berlangsung hampir sejam.

Mungkin ramai yang beranggapan memenangi tempat pertama sebuah rancangan realiti Islamik akan mengekalkan beliau sebagai pendakwah bebas.

Tetapi tahukah anda sejak kecil lagi jauh di sudut hati bekas pelajar Maahad Ahmadi, Gemenceh, Negeri Sembilan dan bekas penuntut dalam bidang Kuliah Syariah Islamiah selama 11 tahun di Mesir ini, bercita-cita menjadi pelakon, pembaca berita dan hos program TV.

Disebabkan cita-citanya itu, sejak di sekolah rendah beliau suka mengurungkan diri di bilik dan melakonkan apa juga watak lakonan Seniman Agong, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, berangan jadi hos program TV dan pembaca berita.

Cik Man tidak lupa kenangan peluang berlakon bersama seniman Datuk Rahim Razali dan Zaidi Omar dalam “Iman Hakiki.”

Ironinya, bertolak dari kejayaan itu bukan setakat menjadi hos program TV, Tanya Cik Man (yang disiarkan di astro Oasis dan kini sudah masuk musim ketiga) tetapi yang pasti beliau diberi peluang berlakon satu demi satu drama yang mana memberi peluang beliau menampilkan sisi lain tentang dirinya.

Biarpun bermula dengan Bila Hati Telah Hitam, Geng Tadarus, Lelaki Kiriman Tuhan (Cik Muiz), Ustaz Baru Nak Start namun apa yang pasti watak beliau sebagai Tuan Fadil dalam Sweet Dream benar-benar memberi impak kepada bakat lakonannya.

Sebabnya watak beliau sebagai pengarang sebuah majalah yang tegas tiba-tiba berubah menjadi lelaki romantis apabila cuba mengurat Puan Lola, emak Puteri, benar-benar mencuri hati para peminatnya.

Cik Man bersama Allahyarham ibu, Fatimah Saat dan ayahnya, Alias Sidik yang kini kurang sihat.

Tetapi semalam, Cik Man mengejutkan para peminatnya apabila tampil dengan watak Bilal Kamal yang gila kuasa dalam telefilem “Iman Hakiki” yang disiarkan sempena Maulidur Rasul (29 Oktober) di astro Oasis HD (106) astro Oasis (126) pada pukul 10 pagi.

Drama terbitan Opera Klasik
dengan skrip dan arahan Rashid Sibir ini menyingkap sisi lain Cik Man sebagai penceramah dan pendakwah bebas yang selalu muncul dengan watak putih.

Sebagai Bilal Kamal, yang sombong dan gilakan kuasa beliau melihatkan betapa bencinya Bilal terhadap seorang musafir bernama Iman, yang menumpang berteduh dan solat di ‘masjidnya.’

Bukan itu sahaja, malah kerana cemburukan Maimunah (Atitaharis) yang jatuh cinta terhadap Iman (Hisyam Hamid), Bilal sanggup mengupah orang memukul Iman dan membuangnya di dalam semak.

Walaupun sedar ‘Bilal Kamal’ akan memberi pandangan negatif netizen terhadap dirinya namun Cik Man tidak kisah kerana yang penting beliau dapat mencuba sesuatu watak dalam memberi kesedaran kepada penonton.

“Apabila pengarah menawarkan watak Bilal yang kontras, saya terima dengan hati terbuka kerana saya tidak mahu membawa watak klise apalagi saya tidak pernah meletakkan tembok pemisah untuk apa juga bidang yang saya minati.

CIK Man dalam pelbagai ‘wajah’ Bilal Kamal.

“Bagi saya tidak ada salahnya saya melakonkan watak Bilal Kamal yang ‘munafik’ demi memberi pengajaran dan kebaikan kepada penonton.

“Saya tahu pasti ada haters yang akan mengutuk tetapi yang pasti sebelum menerima tawaran saya akan pastikan tiada babak bersentuhan dan tiada babak yang mahu saya menyampaikan dalil palsu. Sememangnya skrip drama ini tidak menyimpang atau melanggar pendirian ataupun akidah,” kata Cik Man yang kini mengendalikan program “Jawapan Panas” sebanyak 80 episod yang disiarkan di Awesome TV.

Cik Man sebagai Encik Fadil mengurat Puan Lola, lakonan Datin Nina Juren dalam “Sweet Dream”

Menurut Cik Man, dalam apa juga bidang yang diceburi sama ada berceramah atau berlakon matlamatnya hanya satu agar ia dapat memberi manafaat kepada penonton untuk lebih kenal Islam.

“Dunia lakonan tidak negatif dan kita sebagai orang didalamnya harus cuba ubah suasana dan pandangan masyarakat mengenainya kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang boleh memberi manafaat kepada orang lain,” kata Cik Man.

Apabila ditanya tentang perkahwinan, Cik Man yang mengendalikan program bual bicara tentang agama dan menyantuni remaja di laman sosial IG tentang kemusykilan agama secara santai dan meminati pembaca berita seperti Nurfarahin Jamsari, Ezzah Aziz Fawzy dan Datin Seri Normala Samsudin hanya berkata;

“Insyaa-Allah…doakan saya.”

Cik Man dalam program JOZAN

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here