Serangan ganas di Perancis hidupkan semula perbahasan hak untuk menyakitkan hati

0
485

Oleh Fetty Rara

SEMALAM tiga orang ditikam hingga mati di sebuah gereja di bandar Nice, Perancis.

Sementara siasatan dijalankan Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa negara tersebut kini diserang oleh ‘puak Islam dan kegilaan pengganas’.

Kejadian itu menyusul selepas tragedi pembunuhan pada 16 Oktober apabila seorang guru, Samuel Paty dipenggal kepalanya setelah menunjukkan kartun Nabi Muhammad dalam majalah satira Charlie Hebdo kepada pelajar di dalam kelasnya.

Seorang lelaki berusia 18tahun berketurunan Chechen mengaku bertanggungjawab melakukan pembunuhan tersebut melalui satu post media sosial sebelum ditembak mati oleh polis.

Nama Charlie Hebdo menjadi tular berikutan serangan ganas pada 2015 apabila beberapa penyerang bersenjata meluru masuk ke pejabat majalah itu di Paris dan membunuh 12 orang.

Kumpulan penyerang itu mendakwa mereka bertindak demikian sebagai membalas dendam kerana majalah tersebut menyiarkan imej dan rencana berbentuk provokasi tentang Nabi Muhammad pada 2012.

Serangan terbaharu ini mengingatkan masyarakat sekular Perancis yang menjunjung nilai-nilai kebebasan bersuara dan kebebasan beragama bahawa landskap masyarakat di negara itu telah berubah .

Perancis didiami oleh lebih lima juta orang Islam yang kebanyakannya tinggal di kawasan-kawasan miskin dan sering kali di ketepikan dalam soal politik dan oleh pihak media.

Sebahagian besar daripada masyarakat Muslim di negara itu tidak menyokong puak ekstremis Islam, tetapi mereka masih berdepan dengan ketidakadilan dan cemuhan oleh masyarakat lain.

Seorang pakar di Pusat Pengajian Islam School of African and Oriental Studies (SOAS) University of London, Myriam Francois berkata sejak kebelakangan ini terdapat cubaan untuk mengaitkan Islam dengan kemiskinan oleh puak sayap kanan di negara itu.

Di tengah-tengah kancah pendirian itu muncul tokoh-tokoh termasuk Emmanuel Macron dan Marine Le Pen, pemimpin barisan sayap kanan Front National Pour l’unité Française yang dilihat sebagai memupuk diskriminasi terhadap masyarakat Islam di negara itu.

Parti pimpinan Le pen dalam pada itu berjaya mempengaruhi pihak kerajaan dengan isu-isu sensitif hingga membawa kepada beberapa undang-undang pada 2010 yang melarang wanita Islam memakai niqab dan burqa di tempat-tempat tertentu.

Untuk rekod media Perancis mempunyai sejarah yang panjang berhubung penggunaan satira bagi memperjuangkan isu-isu tertentu.

Bagaimana pun, dalam senario hari ini kebebasan yang menimbulkan provokasi melampau terus mencabar sentimen perkauman dan keagamaan.

Juga, masalahnya di Perancis ialah apabila orang ramai berpura-pura kononnya hak untuk menyakitkan hati kumpulan tertentu dianggap sebagai pengukur tahap identiti nasional. Pendirian itu walaupun salah masih diperjuangkan kononnya ia wajah sebenar  kemasyarakatan orang Perancis.

Apa yang berlaku kini telah merentas sempadan hingga pendirian turut diambil oleh Presiden Turki Erdogan yang menyifatkan Macron sebagai mendiskriminasikan orang Islam.

Sentimen yang sama juga dikongsi oleh Perdana Menteri Pakistan Imran Khan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here