Gambar atas: Persembahan demostrasi maritim daripada TLDM, PDRM, Kastam Diraja Malaysia dan Malaysian Maritime Enforcement Agency sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA 19) di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA 19) di Resort World Langkawi, Tanjung Malai. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

 

LANGKAWI: Agensi berkaitan maritim negara digesa agar menyelesaikan isu perundangan bertindih bagi memastikan tidak berlaku pembaziran sumber.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agensi berkaitan maritim perlu bekerjasama dalam bidang penugasan kerja masing-masing bagi memastikan persefahaman, kepercayaan dan komunikasi terbuka dicapai.

“Sekarang adalah masa paling tepat untuk semua agensi berkaitan maritim bekerjasama dalam proses kerja dan bidang penugasan.

“Isu pertindihan perlu diselesaikan segera bagi mengelak sumber negara dibazirkan dengan pendekatan bersepadu dan berkordinasi adalah jawapan dalam mengukuhkan penguatkuasaan maritim,” katanya ketika merasmikan Persidangan Maritim Kebangsaan (NMC) 2019 di Resort World Langkawi (RWL), di sini, hari ini.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut Malaysia mempunyai perundangan masing-masing dalam menguatkuasan undang-undang berkaitan perairan negara.

Beliau berkata, kerajaan mendapati ada keperluan tadbir urus kawasan laut yang lebih cekap merangkumi aspek keselamatan, kesejahteraan, ekonomi dan alam sekitar.

“Jika terus membahagikan perairan negara mengikut kawasan seperti sekarang, isu pertindihan perundangan dan konflik kepentingan antara sektor tidak akan diselesaikan.

“Pengurusan perairan Malaysia mesti dibuat secara seimbang mengikut keperluan menjadikan kawasan laut sebagai sumber ekonomi tanpa mengorbankan aspek keselamatan dan alam sekitar,” katanya.

Jelasnya, selain isu sempadanan perairan, Malaysia berhadapan cabaran aktiviti menangkap ikan secara haram, penyeludupan dan pencemaran.

Dr Mahathir berkata, laporan mengatakan negara kehilangan kira-kira RM6 bilion akibat aktiviti menangkap ikan secara haram.

Berikutan itu katanya, amat penting bagi agensi berkaitan maritim melihat kembali pendekatan dalam pengurusan perairan negara yang dua kali ganda lebih luas berbanding daratan.

-BERNAMA
Please follow and like us:

Leave a Reply