Covid-19: Utah, AS hantar mesej amaran kecemasan ke setiap penduduk

0
351

Oleh Fetty Rara

MESEJ yang dihantar kepada setiap penduduk melalui telefon di Utah, Amerika Syarikat memberi amaran bahawa jumlah kes Covid-19 di negeri itu telah mencecah rekod tertinggi, dan semua seharusnya mengambil berat.

Mesej tersebut mula dihantar semalam (Jumaat) pada pukul 2 petang waktu tempatan dan kekal aktif selama 15 minit, lapor CNN Amerika Syarikat.

Penerima diingatkan supaya secara lebih serius mengamalkan SOP, terutama memakai pelitup muka dan menghadkan perhimpunan sosial tidak melebihi 10 orang.

Penerima turut diingatkan bahawa semua hospital di negeri itu tidak lagi mampu menampung pesakit dan setiap pelosok negeri itu kini dianggap sebagai kawasan jangkitan tinggi.

Mesej melalui sistem kecemasan negeri AMBER Alert yang menggunakan kaedah Pemakluman Kecemasan Tanpa Wayar (WEA) sebelum ini hanya digunakan bagi menyebar maklumat kecemasan tentang cuaca buruk.

Sejumlah 400 mesej kecemasan Covid-19 telah dihantar sejak September lalu.

Kawasan lain, termasuk New York sebelum ini pernah juga menggunakan kaedah tersebut, tetapi pendekatan pihak berkuasa Utah menyaksikan mesej dihantar ke setiap telefon di negeri itu.

Rasional penggunaan kaedah itu ialah kerana masih ramai penduduk Utah tidak menyedari tentang betapa seriusnya keadaan Covid-19 yang sedang melanda AS.

Utah mencatatkan sebanyak 2,281 kes baharu semalam dan jumlah semakin bertambah hari ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here