Apabila lampu hati Ramlah Ram tidak ‘bercahaya’

0
2934
KIRI: Ketika persembahan pertama lampu di busana Ramlah Ram tidak menyala kerana masalah kabel. KANAN: Setelah diumumkan lagu “Kau Kunci Cintaku (Dalam Hati)” Juara pada Anugerah Juara Lagu 1988, Ramlah Ram menyanyi sekali lagu itu. Pada persembahan ini, lampu hati berkenaan menyala tetapi kurang menyerlah kerana pentasnya terang benderang.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

TIGA puluh dua tahun bukanlah satu jangka waktu yang pendek, namun bagi penyanyi bersuara mersik dan lunak, Ramlah Ram, apa yang berlaku dan dialami masih segar diingatannya bagaikan baru semalam terjadi.

Betapa tidak, ketika beliau mahu mengatur langkah membuat persembahan di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu 1988 dengan sesuatu yang unik tidak kesampaian apabila kabel yang akan merealisasikan impiannya dan pereka fesyen, Norma Norell, tiba-tiba tidak berfungsi kerana kabelnya tercabut disebabkan terlalu kerap dicuba atas permintaan peserta lain untuk melihatnya.

“Hanya beberapa saat sebelum naik ke pentas, Norma Norell meminta saya menekan suis di tangan kiri tetapi lampu di ‘hati’ itu tidak menyala.

“Pada waktu itu, hanya saya dan Norma Norell yang tahu dan kata-kata semangat serta pesanan beliau agar saya melupakan tentang lampu di hati itu sebaliknya fokus dan menyanyi dengan penuh perasaan.

“Sepatutnya lampu di hati itu bercahaya (menyala) ketika ‘music bridge’ Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) tetapi disebabkan kerap mencuba kerana peserta lain nak tengok, kabel yang terlalu halus itu tercabut dan tidak boleh nak buat apa.

“Demi tanggungjawab, saya terus menyanyi dan sememangnya apabila kamera fokus ke wajah saya nampak sedih mungkin penonton membayangkan saya menzahirkan lirik lagu tersebut tetapi sebenarnya perasaan ketika itu berbaur sedih kerana lirik dan lampu hati tidak bercahaya,” cerita Ramlah Ram ketika dihubungi malam tadi dan bercerita insiden yang meluluhkan hatinya ketika itu.

Menurut Ramlah, semua perancangan persembahan telah diberitahu kepada pengurus pentas AJL 1988 dan disebabkan itu apabila namanya dipanggil untuk membuat persembahan lampu dipadamkan dan pentas menjadi gelap.

“Kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan. Saya redha dan alhamdulillah ianya tidak mengganggu persembahan saya dan apabila lagu itu diumumkan sebagai Juara AJL dan saya dianugerahkan bagi kategori Persembahan Terbaik, saya amat bersyukur.

“Meskipun saya berpeluang membuat persembahan sekali lagi. Ketika itu cahaya hati di baju saya menyala tetapi ia kurang berkesan kerana pentas terang benderang,” kata Ramlah Ram sambil ketawa kecil.

Sebenarnya apabila pengacara pada malam itu, ND Lala dan Charmine Augustine mengumumkan nama Ramlah Ram, saya tidak sabar untuk menyaksikannya kerana telah diberitahu tentang konsep persembahan yang kreatif, tentang busana, bentuk hati berwana merah jambu di busana putih dan cahaya yang akan menerangi penyanyinya.

Bagaimanapun kegagalan ‘cahaya hati berfungsi’ sedikitpun tidak memberi kesan kepada penyanyi dan lagu berkenaan yang mana akhirnya lagu itu dinobatkan sebagai Juara di AJL 1988 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

RAMLAH Ram pada peringkat akhir Bintang RTM 1985. Wajah polos gadis kampung yang terus menyarung pakaian seorang kakitangan RTM membuat beliau tidak berani bergerak tetapi akhirnya beliau dinobatkan sebagai Juara Bintang RTM 1985!

“Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)” lagu ciptaan Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab dengan lirik oleh Allahyarham Juwie (Abdul Jalil Salleh) bukan sahaja telah mengukuhkan nama Ramlah Ram dalam bidang seni, malah albumnya dengan tajuk yang sama telah mencatat jualan sehingga 350,000 unit dan menjadi Artis Melayu Pertama dianugerahkan Platinum Kembar Lima dan namanya turut tercatat di Malaysia Book Of Records. Sehingga hari ini, album tersebut telah mencatat jualan 500,000 unit.

Bercakap mengenai pertandingan menyanyi, sebenarnya itu bukanlah pertama kali Ramlah mengalami insiden yang mendebarkan untuk ke pentas akhir pertandingan nyanyian.

Sebaliknya apabila Ramlah berjaya ke peringkat akhir Bintang RTM 1985, beliau hampir tidak muncul sebagai salah seorang peserta!

Sebabnya pada malam raptai penuh, penerbit RTM tidak membenarkan Ramlah memakai baju warna ungu rekaan Roshidah Kadir, kawan baiknya sejak di bangku sekolah kerana tidak sesuai dengan background pentas berwarna hitam.

“Manalah saya nak cari baju pada saat akhir sebab saya bukannya ada kawan. Untuk buat baju itu, saya gunakan duit simpanan ketika bekerja di kilang General Electric dan harga kainnya pun tidaklah mahal sangat.

“Saya tak tahu nak fikir apa sebab dah sebulan kami peserta akhir diletakkan di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), di Angkasapuri

“Bagaimanapun nasib menyebelahi saya apabila salah seorang kakitangan RTM, Anggrahi Selamat (kakak kepada Datuk Syafinaz Selamat) sudi meminjamkan bajunya kerana beliau sering membuat persembahan di pentasrama.

“Pada malam final, seram sejuk saya kerana dah separuh peserta buat persembahan tetapi baju tak sampai. Khabarnya beliau tersangkut kerana kesesakan lalulintas. Nasib baiklah sebelum giliran saya tiba, baju sampai.

“Apabila dapat aje baju saya terus pakai dan tak sempat untuk diubahsuai. Tetapi sepanjang persembahan saya tak bergerak kerana bajunya labuh takut terpijak dan jatuh,” cerita Ramlah.

Siapa sangka bermula dengan kejadian di Bintang RTM, akhirnya Ramlah Ram menjadi seorang ‘bintang baru’ yang cukup popular dan banyak muncul dengan album baharu bermula 1986 dengan album “Sabarlah Sayang” sehingga 2012 dengan album “Aspirasi Hati.”

RAMLAH Ram bersama minyak wangi jenamanya RVR.

“Alhamdulillah…kerana segala apa yang berlaku ada rahmat di sebaliknya. Apabila mengingatkan itu, saya amat bersyukur cuma sampai saat ni saya masih teringat piala Bintang RTM.

“Sebabnya ia adalah piala pusingan dengan nama Juara Bintang RTM yang pertama 1976 Allahyarham Sudirman Haji Arshad tercatat di piala itu dan nama Ramlah Ram adalah yang ke sepuluh terukir di piala pusingan itu yang kini disimpan di RTM,” kata Ramlah.

Bercakap tentang aktiviti seninya hari ini, disebabkan beberapa undangan menyanyi terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19, Ramlah lebih fokus kepada bisnes minyak wangi jenamanya RVR melalui talian setelah beliau dilantik sebagai Duta Home Direct Shopping.

Apabila ditanya tentang peribadinya, Ramlah Ram yang kini menetap di Kota Kemuning dan sudah 10 tahun hidup bersendiri setelah perkahwinan pertamanya selama 10 tahun (2000-2010) musnah, berkata;

“Buat masa ini, saya memang tidak terfikir untuk berkahwin lagi. Tetapi siapalah saya untuk menidakkannya jika jodoh telah sampai kerana ajal maut dan jodoh pertemuan adalah ketentuan-Nya.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here