Polis serbu restoran dijadikan pusat hiburan

0
349

KUALA LUMPUR — Menjadikan restoran sebagai pusat hiburan sementara, itulah taktik digunakan tiga premis yang diserbu pihak polis ketika membuat tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sekitar Bandar Puteri Puchong, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata ketiga-tiga premis yang beroperasi secara tertutup berkenaan mempunyai lesen sah restoran tetapi ia telah disalahgunakan.

Beliau berkata serbuan yang bermula pada kira-kira 10 malam tadi, mendapati ketiga-tiga premis itu lengkap memiliki kerusi dan meja makan tetapi ia tidak menyediakan perkhidmatan makanan.

“Sebaliknya, apabila polis membuat serbuan, kami mendapati kesemua premis itu menjual minuman keras dan dipasangkan televisyen besar untuk aktiviti berhibur.

“Ini sekali gus jelas melanggar arahan PKPB dan ia sama sekali tidak dibenarkan beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan PKPB, di lokasi kejadian.

Razali berkata dalam tinjauan itu, pihaknya juga menahan 18 wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di ketiga-tiga premis itu, tujuh lelaki warga Myanmar serta seorang lelaki Bangladesh dipercayai pekerja di premis berkenaan selain dua individu tempatan berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun.

Razali berkata pihaknya juga mengeluarkan kompaun kepada 37 pelanggan serta pekerja tempatan di ketiga-tiga premis berkenaan selepas didapati melanggar arahan PKPB mengikut Peraturan 3 dan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here