Felda United, UKM FC tidak layak sertai Liga M 2021

0
306
FELDA United masih akan berjuang dalam Piala Malaysia 2020 mulai 6 November ini. - Foto FB FUFC.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

TIADA tempat buat Felda United dan UKM FC dalam saingan Liga Super atau Perdana 2021 selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati kedua-dua kelab itu tidak mempunyai kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu yang cukup kukuh untuk bertahan sepanjang musim.

Jawapan “tidak!” FAM itu ditujukan kepada kedua-dua pihak pengurusan baharu Felda United, The Fighters Sdn. Bhd. dan UKM FC, Varsity Boys Sdn. Bhd. setelah masing-masing diarahkan memberi penjelasan dan dokumentasi lanjut mengenai kedudukan semasa dan kewangan mereka selewat-lewatnya 19 Oktober lalu.

Pengurusan terdahulu Felda United, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 5 Oktober lalu, mengumumkan The Fighters (Si Pejuang) tidak akan menyertai Liga Super atau Perdana mulai musim 2021.

Universiti Kebangsaan Malaysia pula pada 30 September, tarikh akhir untuk semua pasukan Liga M menyelesaikan proses penswastaan, memaklumkan FAM mereka tidak akan bertanggungjawab lagi terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.

“(Justeru) FAM memtuskan bahawa Felda United dan UKM FC telah gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat sekali gus tidak layak menyertai Liga Super atau Perdana 2021 anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),” kata Setiausaha Agung persatuan, Stuart Ramalingam dalam siaran media, hari ini.

Walaupun Felda United dan UKM FC menyelesaikan proses penswastaan dan telah diluluskan, FAM masih perlu menangani proses ini dengan lebih serius terutama pengesahan lanjut kewangan bagi memastikan kebajikan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan berkenaan, terjamin.

UKM FC terpaksa melupakan Liga Perdana dan segala pertandingan MFL musim 2021. – Foto FB UKM FC.

“Perkembangan negatif ketika itu yang berkaitan sokongan korporat dan pendanaan kedua-dua pasukan telah timbul sehingga memaksa FAM meminta penjelasan dan dokumentasi lanjut daripada dua pasukan ini dan pengurusan baharu yang mahu mengambil alih mereka,” katanya.

FAM katanya, perlu membuat keputusan ini bagi mengelak masalah berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berulang pada musim 2021 jika sesebuah pasukan itu didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim.

STUART RAMALINGAM

Felda United menduduki tempat ke-11 Liga Super 2020 dan diturunkan ke Liga Perdana 2021 manakala UKM FC menghuni tempat kesembilan di antara 12 pasukan yang bersaing dalam divisyen dua kebangsaan itu.

Ekoran keputusan FAM itu, kini hanya tinggal 10 pasukan dalam Liga Perdana 2021 iaitu Polis Diraja Malaysia, Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim II, Kelantan, Kuching FA, Selangor 2, Kelantan United, Sarawak United dan Negeri Sembilan serta Perak 2.

Walau bagaimanapun Felda United yang dibimbing Nidzam Jamil masih akan beraksi dalam Piala Malaysia 2020 yang hanya berformat kalah singkir tanpa timbal balik mulai 6 November ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here