Perdana Menteri Cuit Istana, Sindir Rakyat?

0
921

Oleh Sarfarizmal Saad

PETANG hari Sabtu, Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil masa selama 16 minit bertemu rakyat di kaca tv dan ‘live’ di media sosial. Dengan tajuk “Siaran Langsung Situasi Semasa COVID19 oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin”, ramai yang terkejut tiba-tiba ada perutusan khas.

Rakyat tertanya-tanya adakah Perdana Menteri mahu umumkan sesuatu? Untung sabut timbul, mana tahu tiba-tiba kerajaan mahu memberi wang saku kepada setiap warganegaranya bagi menghadapi gelombang ketiga Covid-19 ini.

Rupa-rupanya Muhyiddin sekadar bercerita mengenai situasi semasa virus Covid-19. Alhamdulillah, pun begitu, ia terbukti bahawa Perdana Menteri cukup cakna dan prihatin terhadap tahap kesihatan dan keselamatan rakyat.

Ya, tidak dinafikan, Kerajaan Malaysia merupakan sebuah kerajaan yang cemerlang dalam membantu rakyatnya menghadapi ancaman virus maut Covid-19 ini. Nak dibandingkan dengan negara lain, kerajaan kitalah yang paling terkehadapan dan sistematik dalam mengurus bencana dalam negara.

Namun demikian, rekod yang serba serbi baik lagi cemerlang itu nampaknya agak sedikit tercalar sejak Muhyiddin bercakap di hadapan tv dan ‘live’ media sosial petang Sabtu tersebut. Ramai di alam maya yang komen mengenai beliau cuba memberi gambaran kepada rakyat terhadap perintah darurat yang tak menjadi sebelum ini.

Semua sudah sedia maklum, pada 23 Oktober lalu, Perdana Menteri menyembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong agar dapat mengisytiharkan darurat pentadbiran dalam negara ini agar tiada sebarang aktiviti politik seperti pilihan raya berlaku sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Namun, Majlis Raja-Raja Melayu memberi sepenuh keyakinan dan menyokong usaha-usaha Kerajaan Malaysia pimpinan Muhyiddin dalam mengurus rakyat menghadapi pandemik Covid-19 ini. Ternyata, Raja-Raja Melayu 100 peratus menyokong dan percaya kepada kepakaran Muhyiddin serta pasukannya dalam mentadbir.

Ketika sidang video berkenaan, Muhyiddin seolah-olah ‘frust’ kerana kemungkinan besar terpaksa juga ‘mengheret’ rakyat untuk melakukan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri Sarawak akibat tidak berlaku darurat pentadbiran. Sesuatu pilihan raya terpaksa diadakan selepas 60 hari mana-mana kerusi wakil rakyat kosong atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Muhyiddin turut menyebut laporan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masing-masing bimbang terhadap amalan norma baharu apabila kedua-dua pilihan raya berkenaan dijalankan. Tidak mustahil kes baharu akan kembali meningkat. Namun sebagai Perdana Menteri, beliau beri janji akan teliti SOP paling ketat untuk hadapi pilihan raya di Batu Sapi dan di negeri Sarawak.

Perdana Menteri gegas memohon semua rakyat agar dapat menjaga diri masing-masing khususnya dalam mengamalkan norma baharu dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) jika pilihan raya terpaksa diadakan juga.

“Kalau saudara saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada hari ini. Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.

“Kecualilah jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, di Batu Sapi dan di Sarawak, maka bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya itu sehingga Covid-19 ini berakhir,” kata Muhyiddin.

Adakah Muhyiddin berniat untuk menyatakan kekecewaannya terhadap Raja-Raja Melayu? Wallahu’alam, tetapi bangsa Melayu itu sendiri tidak akan menderhaka kepada Raja walau apapun keputusan. Lihatlah bagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Laksamana Hang Tuah, sudah cukup menggambarkan itulah jua sikap bagi Mamanda Menteri dari zaman dahulu hingga sekarang terhadap Rajanya.

Namun, cakap-cakap orang siapa boleh tutup? Siapa boleh halang? Di media sosial itulah yang mereka sebutkan. Kononnya Perdana Menteri cuba ‘cuit’ pihak Istana dengan menyindir para rakyat jelata.

Apapun tafsiran netizen atau rakyat, yang penting bagi kita sekarang adalah melawan musuh tak nampak Covid-19 ini. Raja-Raja Melayu sudah tentu amat sayangkan rakyat yang dipayunginya selama ini. Jika Raja-Raja Melayu telah memberi sepenuh kepercayaan kepada para memanda menterinya sendiri, maka itulah keputusannya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here