FOTO: Wikimedia Commons/Gage Skidmore from Peoria, AZ, United States of America, CC BY-SA 2.0 , via Wikimedia Commons.

Oleh Ahmad Abd Hamid

BANYAK telah diperkatakan mengenai calon Demokrat, Joe Bidin, yang akan berhadapan dengan Presiden Donald Trump daripada parti Republikan pada pilihan raya presiden 3 November ini.

Namun tidak banyak diperkatakan mengenai calon naib presiden, Senator Kamala Harris, yang dipilih sendiri oleh Joe Bidin sebagai gandingan atau ‘running mate’ dalam pilihan raya yang akan menentukan sama ada Trump mampu mempertahankan jawatan untuk penggal kedua atau Biden akan menewaskannya.

Pemilihan Kamala dilihat sebagai satu kekuatan moral untuk Demokrat amnya dan Joe Bidin khasnya. Menurut tinjauan, ramai menerima baik pemilihan Kamala dan dianggap strategi bijak oleh Biden memilih wanita sebagai calon gandingan.

Namun ini bukan pertama kali wanita dipilih menjadi gandingan kepada calon Presiden. Pada tahun 2008, Senator McCain bagi Republikan memilih Gabenor Alaska, Sarah Palin, sebagai calon naib presiden.

Ketika itu pemilihan Sarah dianggap satu pembaharuan kerana selama ini calon naib presiden adalah lelaki. Ia dianggap strategi McCain untuk menang, tetapi dia gagal menewaskan calon Demokrat, Barrack Obama. Untuk rekod, McCain, senator dari Arizona, meninggal dunia pada Ogos 2018.

Suasana pemilihan kali ini dilihat berlainan. Tinjauan umum menunjukkan Biden mendahului Trump. Jika tinjauan ini menjadi kenyataan di peti undi, Biden akan mengambil alih Rumah Putih dan Kamala Harris disahkan Naib Presiden.

Laporan Reuters menyebut, Kamala Harris akan menempa ‘pelbagai sejarah pertama’ jika menjadi naib presiden usai pilihan raya 3 November.

Dia akan menjadi wanita pertama, wanita bukan kulit putih (Black American)  pertama serta wanita Asia Amerika pertama menyandang jawatan kedua tertinggi di Amerika.

Bukan itu sahaja, dengan jawatan tersebut, dia akan berada pada kedudukan yang sangat baik untuk bersaing jawatan presiden pada 2024.

Pada usianya kini 77 tahun, Biden dijangka tidak akan menawarkan diri untuk bertanding pada 2024. Jelas sekali calon terbaik ialah Kamala yang kini berusia 56 tahun.

Sebagai naib presiden, Kamala bukan sahaja bertanggung jawab membantu presiden tetapi juga mempunyai kuasa undi penentu andai berlaku kebuntuan dalam pengundian di senat.

Begitu juga jika terjadi apa-apa kepada Biden sehingga menyebabkan jawatan presiden kosong, Kamala akan secara automatik dilantik mengisi kekosongan tersebut.

Ini pernah terjadi apabila Presiden John F. Kennedy, presiden ke-35 Amerika ditembak mati di Dallas, Texas, pada 22 November 1963. Naib Presiden, Lyndon B. Johnson mengambil alih pada tarikh sama.

Apabil Presiden Richard Nixon, presiden Amerika ke-37,  berundur akibat skandal Watergate pada 8 Ogos 1974, Naib Presiden, Gerald Ford mengambil alih sebagai presiden Amerika ke-38 mulai 9 Ogos 1974.

Pada pemilihan awal calon presiden parti Demokrat 2020, Kamala turut menawarkan diri untuk bertanding bersama Biden dan calon-calon lain. Dia mendapat sambutan baik pada peringkat awal, namun kemudian mengundurkan diri setelah kedudukannya di carta agak ketinggalan.

Kamala, peguam dan senator dari negeri California, ialah keturunan pendatang India dan Jamaica. Ibunya berasal dari India dan bapanya dari Jamaica. Suaminya ialah Douglas Emhoff, seorang peguam.

Kerjaya Kamala dalam perkhidmatan awam juga memberangsangkan. Dia merupakan peguam daerah (District Attorney) wanita pertama bagi San Francisco dan seterusnya Peguam Negeri (Attorney General) California pertama bukan kulit putih. Beliau berpengalaman luas dalam bidang perundangan jenayah.

Pemlihan Kamala ternyata memberi kelebihan kepada Biden. Beliau dianggap permata berharga yang mampu menarik undi daripada kaum wanita, golongan progresif dan pengundi bukan kulit putih. Mereka merupakan kelompok pengundi penting yang diperlukan oleh Demokrat untuk membantu kemenangan.

Kamala juga dianggap sebagai kunci yang menyatukan Demokrat merentasi batas perkauman dan generasi bagi mencerahkan lagi kemenangan parti itu. Keraguan awal yang timbul di kalangan Demokrat terhadap pemilihannya kini semakin pudar.

Biden sendiri menaruh kepecayaan tinggi kepada Kamala untuk menjadi gandingan berdasarkan kebijaksanaan, pengalaman dan tarikannya kepada para pengundi.

Beliau memberi lima sebab utama memilih Kamala, iaitu nilai diri, kebijaksanaan, ketahanan diri dan berprinsip.

Sebab kelima ialah pengalaman luas Kamala mengendalikan Jabatan Keadilan di California, jabatan keadilan kedua terbesar selepas Jabatan Keadilan Amerika sendiri.

Dengan sentimen pengundi yang nampak condong kepada Demokrat dan Biden, harapan untuk Kamala Harris menjadi naib presiden juga cerah.

Berdasarkan kebolehan dan pengalamannya, tidak hairan jika suatu hari, malah seawal 2024, Kamala akan mencipta sejarah muncul presiden wanita pertama Amerika, sesuatu yang gagal dilakukan oleh Hillary Clinton pada 2016 apabila tewas kepada Trump.

Ditakdirkan ini berlaku, Kamala juga mencatat sejarah wanita bukan kulit putih pertama menjadi presiden. Barrack Obama telah mencatat sejarah pada 2008 menjadi presiden kulit hitam pertama Amerika, menewaskan calon Republikan, John McCain.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here