Piala Malaysia 2020: Kedah-Pahang bak buku bertemu ruas

0
817
CARTA undian Piala Malaysia 2020 yang berformat kalah singkir mirip Piala FA yang dibatalkan musim ini dan menawarkan slot Piala AFC 2021 buat juaranya. - Foto MFL.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

KEDAH dan Pahang terpaksa membuat perhitungan ‘buku bertemu ruas’ lebih awal apabila kedua-duanya diundi berentap dalam pusingan pertama Piala Malaysia 2020 antara Jumaat dan Ahad ini.

Kedua-duanya terikat 8-8 dalam separuh akhir musim lalu dan hanya peraturan gol tempat lawan yang melayakkan Lang Merah ke final pertandingan bola sepak antara tertua di Asia ini.

Berformat kalah singkir malah tanpa timbal balik, Piala Malaysia 2020 yang turut menawarkan slot Piala AFC 2021, membentangkan laluan percuma dan automatik ke suku akhir buat Kuala Lumpur.

Kemenangan tanpa setitis peluh itu ditempah kerana Sabah tidak dapat menyertai saingan setelah Majlis Keselamatan Negara tidak memberikan pengecualian keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 9 November ini.

Namun majlis undian Piala Malaysia 2020 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor hari ini menyaksikan laluan Kuala Lumpur bakal bertukar getir jika juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menunggunya dalam suku akhir dengan mengatasi pendatang baharu, Kuching FA.

PIALA Malaysia dipertandingkan mulai 1967, menggantikan Piala HMS Malaya yang diperkenalkan pada 1921.- Foto MFL.

Format undian turut menetapkan Pulau Pinang, UiTM FC, JDT, Terengganu FC, Perak, Kedah dan Selangor menjadi tuan rumah pusingan pertama manakala pemenang pertemuan dengan lawan masing-masing, akan mendukung status itu pada suku dan separuh akhir.

Hanya perlawanan akhir akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali. JDT menjuarai Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan Kedah 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, “bukan sahaja para pemain bahkan para penyokong kami dan lawan, bakal ternanti-nantikan pertemuan paling menarik dalam pusingan pertama ini.

“Ada hikmahnya kami kalah kepada Pahang dalam Liga Super musim ini. Sikap sambil lewa Kedah seperti itu tidak boleh diulangi,” katanya menjelang episod baharu pertembungan mereka di Stadium Darulaman, Alor Setar itu.

Lawan sejawatan di Pahang, Dollah Salleh pula menjanjikan kebangkitan Tok Gajah dalam Piala Malaysia selepas mengakui prestasi mereka sekadar memuaskan akibat beberapa keputusan yang tidak menyebelahi.

TIMBALAN Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Wira Yusoff Mahadi (kanan) meneliti tatacara format undian Piala Malaysia 2020 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor hari ini. – Foto MFL.

“Sasaran kami ialah juara Piala Malaysia,” kata bekas jurulatih Harimau Malaya ini yang turut pernah menjulangnya bersama MPPJ, Selangor dan Pahang pada 2003, 2005 dan 2013.
Tidak dilupakan dalam saingan musim ini ialah juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor yang menanti Melaka selain Felda United yang disahkan tidak layak ke Liga Malaysia 2021 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam kerana kedudukan kewangannya, diundi bertandang ke kubu juara Liga Perdana 2020, Pulau Pinang.

Kata jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner yang bakal menikmati pengalaman sulung membimbing Gergasi Merah ke Piala Malaysia sejak menggantikan B. Satiananthan pada September lalu, “dalam saingan kalah singkir, sesiapa sahaja boleh kalahkan sesiapa.

“Kami mahu fokus satu persatu, mulanya Melaka. Banyak elemen berbeza pada Selangor kali ini dengan kehadiran pemain muda Selangor 2 (Liga Perdana). Gandingan baharu ini tampak seimbang untuk bersaing,” katanya.

Zainal Abidin Hassan pula memasang impian untuk melakar sejarah bersama barisan bimbingannya, Melaka dengan bergelar juara kali pertama sejak trofi ini dipertandingan sebagai pengganti Piala HMS Malaya mulai 1967.

Satu lagi muka baharu Piala Malaysia, Kelantan United mengakui Perak, bekas juara 2018 mempunyai serba-serbi kelebihan namun masih menganggap apa sahaja termasuk kejutan, mampu berlaku dalam saingan kalah singkir ini.

“Perak cukup bagus daripada segala aspek jika dibandingkan Kelantan United yang turun sebagai bukan pilihan. Kami akan berjuang sedaya upaya untuk menang,” kata jurulatih kelab Pantai Timur itu, Nazrulerwan Makmor yang pernah memenangi Piala Malaysia 2005 bersama Selangor.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here