Arab Saudi terima jemaah asing pertama sejak 7 bulan

0
531

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

JEDDAH – Lebih 250 jemaah asing tiba di Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah di Makkah buat kali pertama sejak tanah suci ditutup kepada warga asing tujuh bulan lalu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah semalam menerima pendaratan beberapa penerbangan antarabangsa dari Pakistan dan Indonesia.

Penerbangan pertama dari Pakistan yang membawa seramai 38 jemaah tiba pada pukul 4.00 petang waktu tempatan, sementara penerbangan kedua, iaitu dari Indonesia mendarat pada pukul 6.00 petang bersama 224 jemaah, lapor portal berita Arab News.

Ketibaan kesemua jemaah itu disambut oleh Menteri Haji dan Umrah Muhammad Saleh Benten dan timbalannya Abdel Fattah Mashat.

Duta Arab Saudi ke Indonesia Issam Al-Thaqafi berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta untuk mengucapkan selamat jalan.

Semua jemaah asing menjalani ujian Covid-19 setiba di Arab Saudi dan wajib dikuarantin selama tiga hari sebelum diuji semula bagi menentukan sama ada layak untuk mengerjakan umrah.

Pihak berkuasa Arab Saudi akan memantau keadaan mereka sepanjang berada di negara itu.

Jemaah asing dibenarkan berada di Arab Saudi sehingga 10 hari dan hanya jemaah berumur tidak melebihi 50 tahun dibenarkan.

Arab Saudi akan hanya menerima kemasukan jemaah dari negara-negara di mana keadaan Covid-19 didapati stabil.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here