UITM FC kena merantau jauh dari Shah Alam ke Manjung untuk menghadapi Kelantan akibat PKPB. - Foto FB UiTM FC.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

JUARA 33 kali, Selangor dan UiTM FC terpaksa menjadi ‘tuan rumah jarak jauh’ pusingan pertama Piala Malaysia 2020 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga 9 November ini.

Gergasi Merah memegang status tuan rumah perlawanan Ahad ini namun Stadium Hang Jebat, Melaka dari segi geografi dan moralnya masih memberikan kelebihan kepada lawan yang dibimbing bekas penyerangnya, Zainal Abidin Hassan.

UiTM FC atau Tentera Singa pula terpaksa melupakan ‘kandang tetapnya’ ketika Liga Super, Stadium UiTM, Shah Alam ekoran PKPB untuk merantau ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak apabila berdepan Kelantan juga pada Ahad ini.

Tuah sebaliknya menyebelahi satu lagi pasukan Lembah Klang, Kuala Lumpur setelah diberikan laluan percuma ke suku akhir biarpun mereka turut menumpang di Stadium Hang Jebat untuk menghabiskan jadual Liga Perdana dengan Kuching FA di bawah PKPB, Sabtu lalu.

Kemenangan 3-0 tanpa setitis peluh itu diraih KL Hawks kerana Sabah tidak dapat menyertai Piala Malaysia setelah MKN tidak memberikan pengecualian keluar daripada PKPB termasuk untuk melengkapkan jadual Liga Supernya menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.

Format undian dan saingan kalah singkir tanpa timbal balik Piala Malaysia musim ini, menetapkan Pulau Pinang, UiTM FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Perak, Kedah dan Selangor sebagai tuan rumah pusingan pertama.

Pemenang pertemuan ini dengan lawan masing-masing, akan mendukung status itu pada suku akhir, 12 dan 13 November dan separuh akhir, 17 November ini.

Hanya perlawanan akhir pada 22 November ini akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

Musim lalu menyaksikan JDT menewaskan Kedah 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk merangkul trofi teragung bola sepak negara yang diperkenalkan pada 1967 sebagai pengganti Piala HMS Malaysia sejak 1921.

JDT yang juga juara Liga Super 2020 tampak berdepan laluan mudah pusingan pertama apabila menanti pendatang baharu, Kuching FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, Jumaat ini.

Baki jadual lain Piala Malaysia yang di luar PKPB, dikekalkan seperti juara Liga Perdana 2020, Pulau Pinang menentang Felda United di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dan ‘buku bertemu ruas’ antara Kedah dan Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat ini.

Juara 2018, Perak pula akan menghadapi satu lagi muka baharu Piala Malaysia, Kelantan United FC di Stadium Perak, Ipoh, sehari kemudian.

“Penjadualan perlawanan TM Piala Malaysia sudah dirancang dengan baik dan semua pasukan termasuk pasukan yang terpaksa beraksi di venue luar iaitu Selangor dan UiTM FC sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan pusingan pertama ini.

“Bagi memastikan kelancaran dalam tempoh penularan pandemik Covid-19 ketika ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak akan berkompromi bagi pelaksanaan tatacara pelaksanaan piawai (SOP) bagi semua perlawanan yang mesti dilangsungkan tanpa penonton.

“Sebarang kegagalan mematuhi SOP oleh mana-mana pasukan merupakan kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan MFL sewajarnya,” lapor siaran media MFL pada laman Facebook rasminya, hari ini.

Ekoran pembatalan kejohanan kalah singkir kebangsaan, Piala FA musim ini kerana Covid-19, Piala Malaysia sebagai galang gantinya turut menawarkan slot Piala AFC 2021 jika juaranya bukan lagi JDT atau Kedah yang sudah layak selaku juara dan naib juara Liga Super 2020.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here