Oleh Azizi Ahmad

SAYA tertarik dengan artikel ‘ Cukuplah berjanji, bantulah kurangkan beban guru’ bertarikh 4 November 2020

Saya juga menerima satu pesanan dari salah seorang rakan pendidik yang menyebabkan saya turut bersimpati dan menumpang sedih.

Pesanan saya buat pendidik bahawa sebenarnya anda bukanlah kedai serbaneka, dan beroperasi 24/7. Perlu ada batas untuk segala usaha yang dilakukan bagi kebaikan diri kita sendiri dan semua.

Sebenarnya para pendidik bertugas jauh lebih teruk berbanding kakitangan awam lain selain perlu kebenaran untuk log keluar, bekerja berdasarkan jam kontrak, berhenti (atau pulang) dan berehat.

Seperti kakitangan awam, waktu kontrak kerja pendidik adalah jam 8:00 pagi hingga 4:00 petang atau 5.00 petang. Tugas yang jatuh di luar waktu itu mestilah menunggu hari kerja berikutnya. Malangnya, keadaan ini tidak berlaku, bukan hanya sewaktu normal tetapi lebih teruk ketika dalam normal baharu.

Di waktu bekerja dirumah, guru-guru berkerja hampir 24 jam, mereka bukan hanya dihubungi oleh ibu bapa dan pelajar tetapi juga pihak pentadbir utama sekolah. Ketidakcekapan pihak pengurusan sekolah pendidik dibebani dengan kumpulan Whatsup atau Telegram sekolah yang terlalu banyak dan menjadi tidak efisien, selain mesej-mesej yang masuk sehingga lewat malam.

Ibu bapa dan pelajar harus mengetahui bilakah masanya untuk menghubungi mereka dan pentadbir seperti pengetua juga seharusnya membenarkan ruang kepada pendidik untuk mempunyai masanya yang sendiri, sekali gus mengurangkan tekanan tidak perlu.

Pada masa sama, pendidik harus berani untuk menetapkan jangkaan untuk berkomunikasi dengan memaklumkan bahawa respon adalah dalam masa 24 jam dan pihak pengurusan sekolah harus juga memberikan sokongannya.

Kita semua faham bahawa ini bukan masa biasa.

Setiap orang berada di bawah tekanan yang tinggi, dan perlu ada situasi dengan keadaan yang mampu meringan beban atau melegakan emosi.

Semenangnya diakui sukar bagi pendidik yang berusaha menetapkan batasan, dan tidak semua orang berada dalam keadaan yang sama.

Mengatakan tidak kepada ketersediaan berterusan pastinya lebih berkesan jika semua orang di sekolah mengasaskan dan menghormati waktu pejabat.

Mengehadkan ketersediaan anda adalah untuk kepentingan anda. Ini merupakan strategi pertahanan terhadap serangan.

Memang tidak mudah. Sebagai pendidik sudah tentu kita ingin menolong orang lain.

Saya tahu, anda mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan. Tetapi kita tidak boleh mencurahkan sesuatu dari ‘bekas yang kosong’.

Tanpa dilakukan perubahan, besar kemungkinan, inilah yang anda perlukan di sepanjang tahun persekolahan dan seterusnya.

– BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply