Teresa Kok - Foto Bernama

PETALING JAYA: Bekas menteri industri utama Teresa Kok hari ini menggesa Kementerian Kewangan supaya mengkaji semula peruntukan yang disalurkan bagi menangani kempen anti minyak sawit, yang dilihat penting dalam usaha melindungi eksport komoditi itu ke negara luar.

Teresa berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyebut bahawa peruntukan yang diberi kepada program itu dikurangkan daripada RM27 juta pada 2020 kepada RM20 juta tahun depan.

“Pengurangan peruntukan bagi program menangani kempen anti minyak sawit antarabangsa ini menunjukkan kerajaan langsung tidak sedar tentang cabaran sengit yang dihadapi oleh industri minyak sawit Malaysia.

“Ia juga memperlihatkan kerajaan kurang faham tentang kepentingan industri minyak sawit kepada ekonomi Malaysia.

“Saya ingin ingatkan kerajaan Perikatan Nasional, minyak sawit adalah eksport yang sangat penting bagi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Julai lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU) melalui mekanisme penyelesaian pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Khairuddin berkata, tindakan undang-undang itu sejajar prinsip dan amalan perdagangan yang digariskan oleh WTO, susulan kempen anti minyak sawit yang dilancarkan oleh kesatuan itu.

Malaysia dan Indonesia mengeluarkan hampir 90% minyak sawit dunia.

Pada Januari 2018, Parlimen EU meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan dengan cara tidak mampan menjelang 2030.

Teresa berkata, pada 2019, eksport minyak sawit merupakan eksport ketiga terbesar negara dan menjana pendapatan sebanyak RM64.8 bilion, serta memberi sumbangan sebanyak 3.5% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Katanya, semasa menjawat tugas menteri di kementerian berkenaan, beliau dan beberapa pegawai dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) merangka pelbagai strategi untuk menangani kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa.

“Ini demi memastikan produk sawit Malaysia diterima baik oleh pasaran antarabangsa. Ini memandangkan industri minyak sawit melibatkan lebih setengah juta pekebun kecil dan merupakan eksport yang begitu penting.

“Saya menyeru Kementerian Kewangan supaya mengkaji semula peruntukan yang kurang bagi program tersebut dan menambah sekurang-kurangnya 2 kali ganda amaun tersebut,” katanya.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here