
LEGENDA bola sepak Malaysia yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Munich 1972 dan anggota skuad pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, Allahyarham Datuk Mohamad Bakar meninggal dunia pada usia 75 tahun, kira-kira pukul 10.20 pagi ini.
Allahyarham yang juga bekas penolong jurulatih skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Kepala Batas, Pulau Pinang.
Sebuah stesen TV melaporkan, jenazah Allahyarham yang kemudian dibawa ke kediamannya di Taman Telok Molek, Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang dikebumikan petang ini.
Allahyarham pada bulan lalu, dilaporkan pernah menjalani rawatan di Wad Hematologi Hospital Pulau Pinang akibat kegagalan tulang sum-sumnya untuk menghasilkan darah dan memerlukan bantuan tambahan darah.
Kata anak perempuannya, Siti Mardhiana Mohamad pada 23 Oktober lalu, Cikgu Mat Bakar (gelarannya) yang berdarah jenis AB+memerlukan penambahan darah A+, B+, AB+ dan O+ ke dalam badannya sebanyak tiga hingga empat unit dalam tempoh dua kali sehari.
Anak kelahiran Bagan Ajam, Butterworth tanggal 25 Jun 1945 ini menyarung jersi negara bernombor 16 ketika pasukan bimbingan Allahyarham Jalil Che Din itu menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dalam perlawanan Kumpulan A Sukan Olimpik Munich.

Penyerang Pulau Pinang ini masuk menggantikan penjaring gol sulung Malaysia, Shaharudin Abdullah dalam minit ke-68 perlawanan di Stadium ESV, Ingolstadt, Jerman Barat pada 29 Ogos 1972 itu.
Bersama mendiang Karl Heinz Weigang dari Jerman Barat, mereka membantu skuad negara menjuarai Kelayakan Kumpulan 2 Asia di Kuala Lumpur namun kerajaan kemudian mengarahkan Olimpik Moscow 1980 diboikot sebagai membantah pencerobohan Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.
Pesara guru sekolah ini juga menjaringkan gol penyamaan Malaysia yang diikat Jepun 1-1 dalam perlawanan Kumpulan C pusingan awal Sukan Asia Tehran sebelum mereka merangkul pingat gangsa dengan menewaskan Korea Utara 2-1 pada 15 September 1974 di Stadium Aryamehr.
Sebagai pemain, beliau turut memenangi kejuaraan Pestabola Merdeka 1973 dan 1974 selepas mengalahkan Kuwait 3-1 dan Korea Selatan 1-0 malah membantu negeri kelahirannya menjulang Piala Malaysia 1974 setelah mengalahkan Perak 2-1 di Stadium Bandaraya.
Mohamad juga menjadi ketua jurulatih Malaysia yang layak ke Piala Asia menerusi pusingan kelayakan 1979 di Bangkok selain membawa skuad pimpinan Datuk Soh Chin Aun meraih pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979 dengan menumpaskan Indonesia 1-0 serta juara bersama Pestabola Merdeka tahun itu dengan Korea Selatan.
Bapa kepada dua anak perempuan, Siti Marhanis dan Siti Mardhiana ini mula mewakili Pulau Pinang dari 1965 manakala skuad negara dari 1970 hingga Kelayakan Piala Asia 1975.
Isterinya, Allahyarham Datin Siti Rahil Harris sudah meninggal dunia, beberapa tahun lalu.-BebasNews
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).