Zairi Moh (kanan) berbual dengan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Rizam Ismail (dua dari kiri) bagi memohon bantuan menyelesaikan masalah perumahan Pangsapuri Rimau Indah Fasa 4 Bukit Rimau Seksyen 32 Shah Alam.

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Pembeli-pembeli rumah Pangsapuri Rimau Indah menyampaikan surat rasmi kepada pejabat Menteri Besar Selangor dan kepada Ketua Pembangkang, Rizam Ismail bagi mendapatkan penjelasan status projek perumahan mereka yang masih terbengkalai.

Menurut wakil penduduk, Zairi Moh, pihaknya telah menunggu hampir 19 tahun untuk memiliki rumah sendiri namun masih sehingga kini belum kesampaian.

“Hari ini kami menyerahkan surat rasmi memohon penjelasan Menteri Besar Selangor dan memohon bantuan kepada Ketua Pembangkang,Rizam Ismail.

“Surat itu kandungannya adalah dari pihak kami bertanyakan sama ada projek perumahan kami yang terbengkalai diteruskan atau sebaliknya,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat rasmi kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Mohd. Hidayat Mohd Saufi dan Rizam di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah wakil Pertubuhan Integrasi Nasional, Mohd.Azhar Osman dan Pengerusi 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan),Muhd.Ali Zakariah.

Muhd.Ali berkata, pihaknya merayu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membantu pembeli-pembeli rumah projek tersebut segera.

“Bajet Selangor difahamkan turut merangkumi projek Smart Selangor. Pada saya selesaikan dulu rumah terbengkalai sebelum buat rumah baru,”katanya.

Semalam media tempatan melaporkan, penantian para pembeli Pangsapuri Rimau Indah Fasa 4 di Bukit Rimau untuk menduduk rumah idaman tersebut terus berlanjutan apabila projek perumahan itu masih terbengkalai sejak 19 tahun lalu.

Projek perumahan yang mempunyai empat blok dan 350 unit itu dimulakan pada tahun 2001 dengan dijadualkan siap 2005 namun terbengkalai sebelum mendapat peruntukan menerusi Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) bagi kerja-kerja pembinaan semula.

Projek perumahan tersebut sebelum ini telah dikategorikan sebagai projek sakit dan mendapat peruntukkan hampir RM16 juta bersama dengan dua lagi projek di negeri ini menerusi TEPAT pada tiga tahun lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here