Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SUKAN Malaysia (Sukma) Ke-20 di Johor pada 2 hingga 10 April 2021 ditunda ke 2022 berikutan ketidaktentuan dalam penularan pandemik Covid-19 yang sudah memasuki gelombang ketiga di Malaysia ketika ini.

Temasya dwitahunan itu juga dikhuatiri sukar menyediakan jaminan keselamatan dan kesihatan kepada hampir 30,000 atlet, jurulatih, pegawai, sukarelawan, pegawai pengurusan dan mereka yang terlibat dalam penganjurannya.

“Angka itu tidak mengambil kira (kehadiran) para penonton dan peminat (di gelanggang-gelanggang),” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam siaran media hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma secara atas talian.

Dua kali penundaan tarikh Sukma sebelum ini juga jelasnya, menyebabkan peningkatan kos pengurusan sehingga ketidaktentuannya, memberikan tekanan dan kekangan kepada pelaksanaan program latihan atlet negeri-negeri peserta.

“Kalendar beberapa temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada 2021 juga terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadan
(13 April–12 Mei 2021), Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun –11 Julai 2021) dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 (23 Julai–8 Ogos 2021),” katanya.

Temasya dwitahunan ini asalnya dijadualkan dari 11 hingga 19 Julai lalu tetapi pada April lalu, diumumkan ditunda kali pertama, ke 6 hingga 14 Mac 2021 sebelum cuba dianjakkan sebulan kemudian.

Mesyuarat bagi mendapatkan pelaporan status terkini penganjuran Sukma Ke-20 oleh Sekretariat Sukma Johor itu jelasnya, dihadiri semua wakil negeri–negeri terlibat termasuk daripada kerajaan negeri Johor selain Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Namun kata Reezal, “kerajaan negeri Johor melahirkan kesediaan mereka untuk menganjurkan Sukma Ke-20 pada 2022 kerana secara amnya Johor telah bersedia hampir 99% dalam perancangan, pengurusan, teknikal, kemudahan pertandingan dan sebagainya.

“Jawatankuasa juga menetapkan tuan rumah Sukma 2024 akan kembali kepada Majlis Sukan Negara secara bersama Selangor atau Wilayah Persekutuan selaras persetujuan bahawa negeri-negeri lain hanya akan menjadi tuan rumah dalam penggiliran empat tahun sekali,” katanya.

Menerusi sistem itu ujarnya, MSN bersama Selangor atau Wilayah Persekutuan akan kembali menjadi tuan rumah Sukma, dua tahun selepas giliran negeri-negeri berkenaan dengan Kelantan dalam mesyuarat jawatankuasa, bersetuju mendukungnya pada 2026.

“Jawatankuasa juga bersetuju supaya Jawatankuasa Teknikal Sukan Malaysia meneliti dan mencadangkan semula perubahan-perubahan peraturan yang terlibat berhubung had umur, kelayakan penyertaan dan sebagainya bagi Sukma Johor 2022.

“Keputusan jawatankuasa itu juga diambil setelah mengambil kira dan menimbangkan pelbagai faktor akibat Covid-19, persiapan atlet dan pasukan negeri-negeri peserta, persiapan penganjuran yang terbaik, pandangan pihak berkuasa dan kerajan negeri tuan rumah,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here