Oleh Hashim Yaacob dan Adi Sukma

ORANG Melayu cipta banyak peribahasa menyuruh bangsanya bersatu padu. Berlambak lambak.

Biasanya kalau sesuatu perkara itu sudah berlambak, maka nilainya pun turun, atau pun tiada berharga lagi.

Apakah ini juga sedang berlaku dengan perpaduan pemimpin dan rakyat di negara ini?

Bersatu teguh, berpecah roboh, kononnya; Bagai aur dengan tebing; Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah;
Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua; Air dicincang takkan putus; Bagai isi dengan kuku; Serumpun bak serai, sesusun bak sirih; Biduk lalu kiambang bertaut.

Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk; Sama lebur sama binasa; Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; Bersekutu bertambah mutu. KONONLAH.

Banyak lagi perumpamaan mengenai perpaduan. Cukup cukuplah! Lagi banyak, lagi membebankan.

Ayat al-Quran pun banyak yang menyuruh kita bersatu padu:

Berpeganglah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah bercerai berai…(Ali Imran: 103).

Hai yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul, dan ulil amri di antara kamu. Jika kamu berlainan pendapat, kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya)….(An Nisa’: 59).

Banyak lagi ayat-ayat suci mengenai perpaduan. Bacalah sendiri dan yakinlah kepadanya jika anda orang Islam. Jangan pula baca sahaja tetapi tidak menghayati dan mempraktiknya.

Apa yang dikatakan oleh ramai orang yang sering kedengaran ialah Melayu telah berpecah lima atau lebih. Masing-masing dengan pendirian sendiri. Orang lain semuanya salah kecuali diri sendiri.

Anehnya bangsa lain tidak begitu.

Kami hanya boleh mengharapkan supaya wakil-wakil rakyat dalam Kabinet dan kerajaan yang dianggotai oleh ahli-ahli daripada berlainan parti, yang telah bermuafakat untuk menubuhkan kerajaan, bersetia dengan perjanjian. Ambil yang jernih, yang keruh buang ke laut.

Setiakawan yang telah kamu pupuk, jangan sampai menjadi sedialawan.

Jambatan yang telah kamu bina bersama itu hendaklah sering kamu menitinya dengan hemah. Jangan biarkan ia menjadi usang membawa roboh.

Saukkan air, mandikanlah diri.
Semoga Allah SWT Memberi Petunjuk.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here