Tidak berlesen, ‘melepas’ pula secara haram

0
497

PUNCA pencemaran adalah dari premis tidak berlesen yang membuat pelepasan haram. Itu penjelasan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung pencemaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang.

Pelepasan haram itu mencemarkan Sungai Selangor, sehingga akhirnya Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dihenti tugas, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.

Adakah perbuatan itu satu ‘sabotaj’ terhadap kerajaan negeri? Kalau betullah ‘sabotaj’, ia memang tidak bertanggungjawab. Sudahlah premis tidak berlesen, ‘melepas’ pula secara haram. Tindakan seumpama itu ‘mencabar’ pihak berkuasa (pelbagai pihak) termasuk kerajaan negeri.

Siasatan mendapati, premis di Taman Velox, Rawang itu membuat pelepasan haram (illegal discharge) dengan mengalirkan buangan berpigmen yang disyaki sebagai buangan terjadual (BT) ke dalam sistem pembetungan IWK melalui lubang tandas dan inspection chamber yang terdapat di dalam premis berkenaan.

Adakah pihak berkenaan sedar proses membuang sisa sama ada buangan terjadual dan sebagainya. Di mana Prosedur Operasi Standard (SOP) ?

Adakah perbuatan seumpama ini yang terakhir? Apakah jaminan ia tidak akan berulang dan menambah episod gangguan bekalan air di Selangor? Selagi ada peluang dan ruang mereka yang tidak bertanggungjawab atau gagal mematuhi SOP dengan selamba mengambil kesempatan atas kelemahan pihak berkuasa.

Justeru, pihak berkuasa khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) harus membantu Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengawal sumber air bersih daripada tercemar. Jangan membuka ruang kepada pihak berkenaan mencemarkan sumber air bersih sesuka hati.

PIhak berkuasa sudah tentu tahu apa yang perlu dibuat tetapi sejauh mana ia dilakukan terutama dari sudut penguatkuasaan?

Tingkatkan usaha bagi mengesan lokasi yang berpotensi menjadi punca pencemaran, memastikan industri mempunyai lesen operasi yang sah serta paling penting SOP berkaitan pembuangan sisa benar-benar dipatuhi.

Di samping menggunakan perkhidmatan empat buah dron berteknologi tinggi bagi meningkatkan kawalan pemantauan bagi mengesan punca pencemaran sungai lebih awal, gerakan pemeriksaan dan pemantauan yang lebih menyeluruh perlu dilakukan sama ada premis tanpa lesen atau operasi secara haram.

Pihak berkuasa perlu lebih kerap turun ke kawasan industri. Pastikan pihak industri sama ada skala kecil atau skala besar benar-benar memahami SOP pelupusan sisa. Jangan ambil jalan mudah untuk melupuskan apa juga jenis sisa yang dihasilkan.

Pihak industri pula perlu memahami bagaimana pelupusan sisa harus dilakukan. Mereka perlu disedarkan risiko mengabaikan SOP pembuangan atau pelupusan sisa di muka bumi ini. Jika tidak sungai yang menjadi sumber air bersih akan terus tercemar dan gangguan bekalan air menjadi satu norma baharu kehidupan.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here