Ini adalah rezeki anugerah Allah – Jamal Abdillah

0
833
JAMAL Abdillah di Kolam Ikan Arowana miliknya yang terletak di Bukit Merah, Ipoh, Perak.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

TIADA apa yang lebih membahagiakan bagi seorang insan bernama Datuk Jamal Abdillah apabila anak kedua dengan isterinya, Datin Zai Izzati Khirudin lahir dengan selamat pada 4.01 petang semalam melalui proses pembedahan di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak.

Kehadiran anak kedua mereka yang melengkapkan impian Raja Pop tanahair ini untuk menamakannya El-Isaac Yamani atau Zack sempena nama wataknya dalam filem “Azura” yang telah menjulang namanya sebagai seorang penyanyi dan pelakon popular dan berbakat pada tahun 1984.

DATUK Jamal Abdillah menziarah anaknya El-Isaac Yamani, pagi tadi.

Sebagai seorang selebriti, suami dan ayah, Jamal mempunyai sebab tersendiri memilih tarikh kelahiran El-Isaac Yamani pada 11. 11 ( 11 November 2020) begitu juga anak perempuannya, Nur Azura Yamani yang lahir pada 10.10 (10 Oktober 2019) meskipun ada yang berpendapat betapa beruntungnya apabila memiliki duit dan boleh memilih tarikh kelahiran anak.

Datuk Jamal Abdillah yang terus berkejar ke kolam ikan Arowana miliknya di Bukit Merah, Perak setelah menziarah isteri dan anaknya di hospital, untuk memantau para pekerjanya ketika dihubungi petang tadi berkata;

“Ini adalah rezeki yang Allah anugerahkan kepada saya. Saya rasa tidak salah kerana ingin mengabadikan tarikh yang cantik untuk anak kami dilahirkan sebab jika mengikut perkiraan doktor, isteri saya akan bersalin pada 17 November. Saya cuma mahu anak kami dilahirkan awal enam hari untuk tarikh yang cantik dan melakarkan sejarah buat kami. Alhamdulillah isteri dan anak saya sihat, insyaa-Allah esok (Jumaat), Zai dan Zack boleh balik rumah.”

DATUK Jamal Abdillah menziarah anaknya El-Isaac Yamani, pagi tadi.

Jamal Abdillah dan Zai Izzati Khiruddin menikah pada 1 April 2017. Anak pertama mereka yang dilahirkan tahun lalu dinamakan sempena nama ‘kekasih Zack’ dalam filem “Azura.” Kini Nur Azura Yamani telah berusia setahun sebulan.

Sebelum perkahwinan ini, Jamal telah dianugerahkan dua orang anak lelaki hasil perkahwinan kedua, Osama Yamani,19, dan perkahwinan ketiga, Ahmad Zaki Yamani,14 tahun.

Menurut Jamal, isterinya akan dijaga oleh ibunya sepanjang proses berpantang di banglo miliknya di Tambun yang dibina sejak lebih tiga tahun lalu.

Jamal dan Zai Izzati yang telah ‘menetap’ di Ipoh sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan pandemik Covid-19 pada 18 Mac sehinggalah hari ini.

Sejak itu, Jamal yang telah membeli tanah seluas 3 1/4 ekar dan membina 20 kolam menternak ikan Arowana di Bukit Merah. Dalam setiap kolam mempunyai 20 ekor ibu ikan dan kini mempunyai 400 ekor ibu ikan.

Setiap ekor anak ikan Arowana (Kelisa) superrate berukuran 2 inci dan empt inci boleh dijual kepada para pemborong dengan harga berbeza dan menguntungkan bagi kedua belah pihak.

“Jangan terkejut kalau terserempak saya berkulit sawo matang dengan but kuning macam Phua Chu Kang,” kata Jamal Abdillah.

Selain menjual anak ikan, kolam ikan milik Jamal Abdillah turut menjual telur ikan kepada mereka yang baru mula belajar menternak ikan tersebut dengan harga berbeza dan mampu menjana keuntungan untuk seorang pengusaha baharu.

Kebanyakan ikan Arowana dari kolam milik Jamal Abdillah kini menjadi pilihan para peraih yang mempunyai lesen untuk diekspot ke luar negara.

“Sebenarnya untuk bisnes ni pelaburannya sangat banyak dan saya tidak menduga hobi sembilan tahun lalu kini memberi pendapatan yang cukup baik buat saya dan keluarga.

“Apabila Covid-19 menyerang seluruh dunia, ia memberi kesan yang amat mencabar buat semua. Begitu juga saya dan saya amat bersyukur kerana minat saya itu telah membolehkan saya membuka perniaagaan sendiri selain menyanyi.

SATU daripada 20 kolam ikan Arowana milik Jamal Abdillah yang diperkemaskan lagi oleh dua orang pekerjanya.

“Mula-mula dahulu saya sekadar melawat seminggu sekali kolam ikan saya. Tetapi sejak membeli tanah dan mengusahakan kolam ini, saya memang benar-benar serius untuk berjaya demi untuk keluarga,” kata Jamal Abdillah sambil tidak henti bersyukur kerana usahanya itu mendapat perhatian Jabatan Perikanan Malaysia yang akan memberi bantuan dan perhatian terhadap kolam ikan Arowana miliknya.

Menurut Jamal, mungkin ada yang terkejut apabila terserempak dengan beliau di kolam ikannya itu.

Betapa tidak jika selama ini peminat melihat Datuk Jamal Abdillah sebagai Raja Pop yang sentiasa menjaga penampilan yang menarik, kemas dan bergaya tetapi sebagai pengusaha kolam ikan beliau memang berlainan.

“Sebagai Raja Pop bernama Jamal Abdillah saya sentiasa menjaga penampilan saya ketika di pentas kerana itu adalah kerja saya.

“Tetapi jangan terkejut kalau anda terserempak saya berkulit sawo matang dengan but kuning setinggi paras lutut seperti yang dipakai oleh pelakon siri komedi ‘Phua Chu Kang’, kerana ini juga kerja saya. Saya tidak takut pada matahari yang penting saya tidak lepaskan tanggungjawab itu kepada para pekerja,” kata Jamal Abdillah.

Bagi Jamal, biar mungkin ada peminat yang akan hairan dengan penampilannya ketika di kolam namun bagi ayah kepada empat orang cahayamata ini tanggungjawab pada keluarga lebih diutamakan.

“Zaman berseronok dan keluar setiap malam telah lama saya tinggalkan. Itu semua menjadi sejarah silam yang saya simpan kemas dalam ingatan saya.

SELEPAS menjenguk El-Isaac Yamani, Jamal Abdillah terus ke kolam ikannya.

“Sejak berkahwin dengan Zai Izzati, dia banyak mempengaruhi hidup saya untuk menjadi seorang suami dan ayah yang terbaik untuk anak-anak saya.

“Kita memang tidak boleh memadam sejarah hidup kita tetapi insyaa-Allah kita mampu
membina sebuah keluarga bahagia dengan kasih sayang seorang isteri dan kehadiran anak-anak sebagai lambang kasih sayang.”

Apabila bertanya tentang impiannya, Jamal Abdillah yang telah menyiapkan dua single dengan satu daripadanya bertajuk “Wuduk,” berkata;

“Jika diizinkan Allah dan ada rezeki saya mahu seorang lagi anak perempuan. Yang pasti nama anak perempuan itu pasti ada nama Yamani kerana ia bagaikan trademark anak-anak Jamal Abdillah.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here