Bebas bercakap tidak sama ‘bebas berniaga’

0
571
fotoBERNAMA

Oleh Hassan Mohd Noor

“BESOK, kita akan lihat Arau (Shahidan Kassim) akan buka gerai nasi lemak di Jalan Parlimen…” begitulah kata Teresa Kok (PH Seputeh) ketika Shahidan bangun mencelah meminta penjelasan semasa wakil rakyat Seputeh itu mengambil bahagian perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.

Shahidan (BN-Arau) bangun meminta penjelasan Teresa Kok apakah pilihan yang boleh dilakukan dalam keadaan kesusahan hari ini untuk membantu rakyat.

Kok yang semasa menjadi menteri mempunyai banyak idea berkaitan minyak sawit, menoreh getah dan buluh tanpa menjawab pertanyaan Shahidan, sebaliknya terus berkata : Besok Arau (Shahidan) akan buka gerai nasi lemak di Jalan Parlimen dan pegawai-pegawai serta wakil rakyat boleh membelinya.

Shahidan kemudian bangun menjawab : “Tidak ada masalah saya akan buka dan beri makan percuma”.

Begitulah antara warna-warni Dewan Rakyat kita apabila wakil rakyat bebas bercakap tanpa merujuk fakta sebaliknya bercakap ikut suka.

Kok semasa berbahas begitu hairan dengan keputusan Menteri Wilayah Persekutuan (WP) Annuar Musa yang mahu menjadikan Wilayah Bebas Berniaga mulai Ahad ini, seolah-olah mahu menjadikan WP seperti Parlimen Ketereh (kawasan diwakili Annuar) yang membenarkan peniaga berniaga di mana-mana sahaja.

Kok menyifatkan keputusan itu berbahaya kerana akan mengundang orang ramai membuka gerai, meletak meja sesuka hati untuk berniaga dan melanggar peraturan akta pihak berkuasa tempatan.

Mungkin Kok, walaupun mewakili rakyat dalam kawasan WP bukannya berada nun jauh di Perlis atau di Ketereh, beliau terlepas pandang atau tidak meneliti atau tidak membaca kenyataan Annuar sebelum ini.

Jika tidak membaca pun orang kebanyakan boleh faham maksud ‘bebas’ itu. Guna lojik akal, tidak ada yang bebas segalanya.

Dipendekkan cerita ‘bebas itu bersyarat’. Mesti mohon lesen sementara dan tidak dibenarkan berniaga di lokasi yang boleh membahayakan.

Mungkin salah satu kawasan berbahaya itu adalah Jalan Parlimen dan seandainya Annuar membenarkan Shahidan menjual nasi lemak di situ, siapakah yang akan membelinya lebih-lebih lagi ketika Dewan Rakyat tidak bersidang?

Agaknya sebab itulah Shahidan berkata beliau sedia membuka gerai nasi lemak di Jalan Parlimen tetapi akan beri makan percuma!

Mungkin menyedari masih ramai yang berfikiran seperti Kok, Annuar tampil sekali lagi menjelaskan bahawa inisiatif Wilayah Bebas Berniaga di ketiga-tiga wilayahnya, dilaksanakan dalam keadaan terkawal di bawah pemantauan PBT masing-masing.

Peniaga yang terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak menyumbang kepada masalah kesesakan dan kebersihan.

“… bila saya kata bebas berniaga, ia bukan bermakna semua orang boleh buat sesuka hati tanpa mengikut peraturan atau SOP, seolah-olah tiada undang-undang.

Mereka masih perlu memohon lesen sementara (selama enam bulan) yang akan dikeluarkan secara percuma, malah butiran mereka juga direkodkan,” katanya.

Annuar juga meminta masyarakat dan pihak tertentu untuk tidak skeptikal dan menegaskan inisiatif itu hanya untuk tempoh sementara, bagi membantu golongan terjejas akibat Covid-19.

“Sekiranya ada peniaga melanggar SOP dan peraturan atau menimbulkan kekacauan, mereka akan dinasihatkan (oleh PBT) sama sahaja seperti keadaan sebelum ini, bezanya dalam tempoh ini PBT tidak akan membuat rampasan barangan,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media berasingan Timbalannya, Dr Santhara Kumar berkata, pihak PBT telah menggariskan beberapa SOP dalam memastikan aspek keselamatan dan kebersihan lokasi perniagaan.

Katanya antara SOP ditetapkan adalah lokasi gerai tidak menghalang laluan pejalan kaki, tidak berada di simpang jalan dan tidak menggunakan struktur kekal yang boleh mencacatkan keindahan bandar raya.

“Peniaga juga akan menandatangani satu aku janji selain perlu memaklumkan tentang jenis barangan yang dijual,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here