Rashid buat program youtube channel bukan satu escapism

0
434
NORLIA Ghani ditemuramah oleh pengarah dan penerbit, Rashid Sibir dalam program bual bicara “Kopi O Bersama Rashid Sibir” untuk Youtube Channel rashidsibir Opera tv yang telah disiarkan Sabtu lalu.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

TANPA anda sedar sebenarnya masalah penerbit untuk mendapat peluang menerbitkan program TV bukan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Ironinya, dilema itu telah dihadapi oleh mereka sejak bertahun-tahun lamanya apabila pihak stesen TV mengamalkan sikap pilih kasih yang mana hanya syarikat penerbitan tertentu sahaja diberi peluang.

Peluang yang diberikan kepada syarikat penerbitan tertentu bukan sedikit malah berpuluh dan beratus episod dan projek mereka bertali arus sampaikan tiada ruang untuk berehat.

LIZA Abdullah dalam “The Ferry & Bam Show”

Kenapa ini terjadi? Mengapa hanya syarikat penerbitan tertentu yang diberi peluang? Semua ini terjadi hanya mereka yang tahu iaitu pihak stesen TV dan syarikat penerbit berkenaan.

Bagi yang tidak dapat peluang, kebanyakan mereka lebih suka mendiamkan diri kerana mereka ibarat mentimun, bergolek luka digolek pun luka.

Disebabkan itu, ada penerbit yang mengharapkan bulan jatuh ke riba, hanya bertawakal agar rezeki berpihak kepada mereka. Tetapi sampai bila?

Menyedari itulah ada penerbit drama TV kini beralih arah buat bisnes lain yang lebih tenang dan berkat. Tetapi ada juga beberapa penerbit yang mendapat peluang menerbitkan program TV mencari alternatif lain untuk kelangsungan hidup.

FAUZIAH Nawi berkongsi sayu pilu hatinya sejak anak sulungnya, Mohd. Firdauz atau lebih dikenali Pitt, meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian bot tenggelam tahun lalu.

Salah sebuah syarikat penerbitan yang cuba memperkembangkan bidang penerbitan mereka ialah Opera Klasik yang dimiliki oleh pengarah profilik, Rashid Sibir.

Rashid Sibir ketika dihubungi tidak menafikan Opera Klasik mencuba cabang lain meskipun ianya tidak lari daripada bidang yang merupakan kepakarannya.

Bagi Rashid, walaupun “Bidadari Kiriman Tuhan” drama rantaian 25 episod terbitan syarikatnya telah berakhir 5 Oktober lalu diikuti drama sempena Maulidur Rasul “Iman Hakiki” yang disiarkan di astro Oasis HD (106) pada 29 Oktober lalu, namun beliau tidak boleh menunggu rezeki datang bergolek.

Dalam diam, Rashid menerbitkan dua program untuk siaran youtube Channel iaitu program bual bicara “Kopi O Bersama Rashid Sibir” yang mengundang seniman dan seniwati veteran dengan mendekati kehidupan mereka sebagai anak seni yang telahpun bersiaran Sabtu lalu pada pukul 9 malam.

RAJA Azura dalam drama pendek di The Ferry & Bam Show.

“Saya menerbitkan rancangan untuk youtube Channel bukanlah satu ‘escapism’ kerana saya masih berkarya untuk program TV. Sebenarnya saya ingin mencuba alternatif lain untuk bebas berkarya dalam pelbagai genre untuk menjana pendapatan supaya boleh menolong kawan-kawan,” kata Rashid Sibir apabila ditanya mengapa beliau menerbitkan program untuk youtube channel.

Malam esok (14 November) melalui youtube Channel rashidsibir Opera tv pada pukul 9 malam anda berpeluang menonton “The Ferry & Bam Show” bersama Mama Norlia Ghani dalam kisah “Anak Derhaka, Patung Cendana.”

“Anak Derhaka, Patung Cendana” membawa kisah Ferry yang hidup mewah tetapi sombong dan derhaka kepada emaknya. Kesedihan dan penyeksaan yang dialami Mak mendapat perhatian orang gaji Ferry bernama Bam yang sanggup membantu Mak. Bagaimanakah kesudahannya.

“Walaupun ia sebuah sketsa komedi sedih tetapi ia penuh dengan tauladan dan pengajaran. Saya mahu dalam tawa tanpa sedar penonton disindir bukan bertujuan mengutuk mereka sebaliknya agar mereka sedar tentang pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan kita,” jelas Rashid.

Setiap Sabtu, “The Ferry & Bam Show” akan bersiaran secara bergilir dengan “Kopi O Bersama Rashid Sibir.”

Minggu lalu “Kopi O Bersama Rashid Sibir” episod pertama dengan Seniwati Norlia Ghani atau lebih mesra disapa Mama Norlia yang mana antara lain memperkatakan selama lebih lima dekad penglibatannya dalam bidang lakonan bermula dengan filem “Kanchan Tirana” sebagai Cempaka dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Dalam program bual bicara itu, Norlia Ghani yang diambil berlakon filem oleh P. Ramlee setelah memenangi pertandingan Ratu Cantik, telah berlakon lebih 20 filem dan lebih 100 drama selain bercerita perjalanan hidupnya sebagai anak seni melalui filem tetapi popular kerana watak Joyah dalam drama terbitan RTM “Opah” yang bersiaran selama 18 tahun.

Bagaimanapun sesuatu yang menarik apabila, Norlia Ghani menyentuh mengenai suatu waktu dahulu pelakon ditentukan oleh pengarah tetapi kini pihak stesen TV yang memilih pelakon!

RASHID Sibir bersama Norlia Ghani.

Menurut Rashid, dalam program bual bicara itu ia membawa penonton mendekati perjalanan hidup anak seni sebagai pelakon drama dan filem.

Bukan itu sahaja, malah sebagai orang seni yang telah melalui pelbagai kisah suka duka sebenarnya dalam diam mereka mempunyai pandangan tersendiri terhadap industri hari ini.

“Kebanyakan peminat hanya kenal artis di kaca TV dan di layar perak tanpa menyelami suka duka mereka sebagai anak seni ketika mula terlibat sebagai pelakon.

“Bagaimana mereka menghadapi keadaan semasa dan hal keluarga. Walaupun program ini kami berborak santai-santai tetapi talkshow ini ada konsep dan bukan cacamarba,” jelas Rashid Sibir.

Buat permulaan program bual bicara “Kopi O Rashid Sibir” ini diterbitkan sebanyak empat episod bermula dengan Mama Norlia, Liza Abdullah, Fauziah Nawi dan Raja Azura.

Dalam episod Liza Abdullah, ia akan menyentuh tentang kekerapan beliau muncul dalam drama TV dan boleh dianggap sebagai ‘ratu drama’ kerana mampu menangani setiap watak yang diberikan dengan baik dan berkesan.

Sementara Fauziah Nawi akan membawa anda menyelami naluri hati seorang ibu yang sentiasa merindui anaknya yang telah pergi buat selama-lamanya.

Sementara Raja Azura yang lebih dikenali sebagai Kak Engku, Rashid Sibir akan menyingkap kehidupan Kak Engku sebagai ibu tunggal sejak sekian lama.

Durasi bagi setiap program berkenaan adalah 30minit yang mana 10 minit adalah bloopere dan jika ianya mendapat sambutan, Opera tv akan menerbitkan lagi enam episod menjadikan 10 episod.

“Bukan itu sahaja, insyaa-Allah jika program kami ini mendapat sambutan kami akan terbitkan telefilem hari raya untuk siaran Opera TV,” kata Rashid Sibir.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here