Oleh Abdul Hafiz Ahmad
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) membatalkan segala keputusan perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kumpulan G Liga Juara Asia (ACL) 2020 setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan kelab itu tidak dapat menyertainya kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Saingan Kumpulan G ACL Zon Timur akan disambung semula 19 November ini di Doha, Qatar dengan JDT mulanya dijadualkan masih berbaki empat perlawanan dengan menentang Guangzhou Evergrande (China), Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) dan Vissel Kobe (Jepun).
Kesemua perlawanan JDT itu ialah pada 19 November dan 4 Disember dengan Guangzhou Evergrande, Suwon Samsung Bluewings (25 November) dan Vissel Kobe (1 Disember).

Terdahulu JDT yang menghuni tempat kedua kumpulan dibelasah Vissel Kobe 5-1 di Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 3 Mac.
Saingan ACL kemudiannya tertangguh gara-gara penularan pandemik Covid-19.
“AFC telah dimaklumkan FAM bahawa kelab ahli gabungannya, JDT menarik diri daripada ACL 2020.
“Kelab itu dikatakan, tidak dapat bertandang ke Qatar untuk bersaing dalam pertandingan secara berpusat ACL 2020 (Zon Timur) yang dijadualkan minggu depan.
“Menggunakan Perkara 6.1 dan 6.2.1 Peraturan Pertandingan ACL 2020, semua perlawanan JDT dibatalkan dan dianggap kosong dan tidak sah.

“Bagi mengelakkan keraguan, semua mata dan gol perlawanan-perlawanan berkenaan tidak akan diambil kira apabila menentukan ranking akhir dalam peringkat kumpulan.
“Ekoran itu, hanya tiga kelab (Guangzhou Evergrande, Suwon Samsung Bluewings dan Vissel Kobe) kini akan menyertai Kumpulan G ACL 2020,” lapor laman sesawang rasmi AFC, the-afc.com hari ini.
Mengenai kemungkinan JDT dikenakan tindakan atas penarikan diri ‘dalam keadaan terpaksa dan luar dugaan’ (di bawah PKPB arahan Majlis Keselamatan Negara) itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, “masih awal untuk memutuskannya.”
Sebuah kelab, Al Wahda yang beraksi tetapi gagal menghadiri perlawanan Zon Barat ACL 2020 beberapa bulan lalu, tidak dihukum AFC atau dianggap ‘force majuere’ pada Perkara 6.4 dan 71 Peraturan Pertandingan namun hanya semua keputusan terdahulunya yang dibatalkan.
Force majuere dalam istilah undang-undang bermaksud keadaan luar dugaan yang menghalang seseorang daripada mematuhi satu perjanjian.
-BebasNews
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).