Azmi Caliph Buskers, tulus cipta lagu untuk insan tersayang

0
319
Azmi Saat telah mencipta lagu khas untuk isterinya berjudul Tulus.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DALAM bidang seni, kebanyakan orang tahu, Khairul Azmi Mohd. Saat atau Azmi Saat, 33, adalah vokalis bagi kumpulan Caliph Buskers yang ahlinya adalah orang kurang upaya (OKU).

Nama Caliph Buskers cukup disegani kerana belum ada kumpulan sebegitu di tanah air selain penyanyi S.Jibeng (Allahyarham) yang popular suatu ketika dulu.

Azmi yang mula melakar nama selepas menggantikan vokalis Mojo dalam Anugerah Juara Lagu-29 (AJL29), kini bukan sekadar menyanyi atau bermain keyboard, malah beliau mula tunjuk bakat sebagai pencipta lagu.

Kata orang, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Disebabkan keinginannya mahu ada lagu ciptaan sendiri, akhirnya Azmi berjaya memenuhi impiannya itu menerusi lagu Tulus.

Gembira diberi peluang untuk bekerjasama dengan Ezra Kong.

Menurut Azmi, Tulus dicipta pada 2008 sewaktu beliau sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Pada ketika itu, beliau mengambil peluang untuk mempelajari selok-belok teknik rakaman audio dengan menggunakan komputer melalui kawan-kawannya.

“Alhamdulillah, lagu Tulus adalah projek pertama saya. Bermula daripada lirik, melodi, susunan muzik dan rakaman semuanya saya lakukan sendiri.

“Semuanya bermula apabila saya dilamar oleh Valient Music pada awal 2020 sebagai artis rakaman mereka. Pihak syarikat menggalakkan supaya saya terus mencipta lagu sendiri dan mendalami tentang produksi muzik.

“Langsung, saya memperdengarkan lagu Tulus kepada pihak Valient Music dan mereka bersetuju untuk menggunakan lagu itu dan mendapatkan khidmat Ezra Kong bagi menerbitkan lagu tersebut,” cerita Azmi yang popular dengan lagu Hanya Namamu bersama Caliph Buskers.

Tambah Azmi, lagu Tulus dicipta khas untuk kekasihnya yang kini sudahpun bergelar isterinya, Nazirah Muhammad.

Kekuatan Azmi Saat terletak pada vokalnya.

Katanya, sewaktu ditawar menjadi artis rakaman Valient Music, beliau tidak berfikir lama kerana teruja diberi peluang untuk bekerjasama dengan produser terkenal Ezra Kong.

“Siapa yang tak gembira bila dapat bekerjasama dengan komposer ternama. Lebih-lebih lagi itu adalah karya pertama saya, mestilah rasa bangga dan teruja,” akuinya.

Melalui Tulus, Azmi juga berharap pendengar supaya sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun tidak mendapat balasan sebagaimana yang diharapkan.

Tegas beliau, sifat tulus itu tidak pernah mengharapkan apa faedah dari setiap yang dilakukan.

Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Valient Music. Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes dan YouTube @Azmi Saat.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here