Jawapan kepada Maszlee…

Utusan Malaysia 21 Mei 2018

Oleh Dato Kept Prof Emeritus Dr. Hashim Yaacob (B)

SEBELUM kita membuat tanggapan, kita perlu terlebih dulu menerima hakikat bahawa bekerja pada waktu di mana terdapat banyak kekangan, seperti di musim pandemik sekarang ini, tidaklah semudah bekerja waktu aman sentosa.

Saya berpendapat lebih berhemah kalau sekiranya YB Maszlee Malik mempunyai sebarang cadangan yang baik untuk rakyat, maka tulislah terus kepada Menteri KPT, sepertimana saya pernah menulis dan memberi sendiri ke tangan YB Maszlee ketika YB itu menjadi Menteri Pendidikan dulu, walaupun tidak pernah YB itu menjawabnya, kalau pun mengucapkan terima kasih.

Ketika dilantik sebagai Menteri dulu, ramai orang mengecam atau mempertikai lantikan YB Maszlee. Sayalah yang tampil di akhbar mempertahan pelantikan YB Maszlee.

Saya sertakan keratan akhbar itu di akhir rencana ini, kerana saya yakin YB tak pernah melihatnya.

Maka itu sukalah saya memberi reaksi kepada tulisan YB Maszlee Malik mantan Menteri Pendidikan yang disiarkan dalam Sinar Harian pada 22 Okt 2020, yang meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap Kementerian Pengajian Tinggi dan Menteri semasa, melalui kata-kata beliau seperti berikut:

1. “Seperti kelazimannya Kementerian Pengajian Tinggi terus membisu dari mengemukakan inisiatif-inisiatif kontigensi bagi para siswa dan siswi di kala pendemik semenjak bulan Mac yang lalu.”

Reaksi saya: komen ini sangat melulu kerana, tanpa melihat kepada beberapa perkara positif yang telah dilaksanakan oleh Kementerian. Bolehlah bertanya pada Kementerian.

2. “Menteri hanya muncul untuk mengumumkan pertandingan TikTok, mengumumkan penutupan IPT di saat akhir, membuat keputusan U-Turn, ataupun muncul untuk melihat bas-bas menghantar pelajar pulang dari IPT ke rumah masing-masing”.

Reaksi saya: Menteri tidak perlu muncul pada setiap fungsi. Pegawai-pegawai kementerian yang berkewajipan telah muncul menjalankan tugas di mana perlu, sepertimana juga sewaktu YB Maszlee dulu, YB juga melawat sekolah dan universiti. Tetapi YB bekerja pada zaman aman, tiada Covid menunggu di mana-mana. Bebas bergerak dan bermesyuarat. Tiada ketakutan dan ancaman pandemik.

Kita tidak dapat meramal apa yang akan berlaku setiap hari di zaman pandemik. Maka sebab itulah keputusan yang dibuat Menteri terpaksa diubah mengikut keadaan.

3. “Adalah tidak adil untuk mengharapkan KPT di bawah kepimpinan menteri di bawah kerajaan sekarang untuk melakukan inisiatif-inisiatif seperti yang belaku pada tahun 2018-2019 yang lalu. Selain dari usianya yang baru tujuh bulan, pandemik juga merupakan alasan yang konkrit untuk berselindung “.

Reaksi saya: Adalah tidak adil bagi YB Maszlee untuk mengatakan pihak KPT berselindung.
Itu tomahannya saja. Lagi pun dalam masa singkat, dan dalam keadaan Krisis Covid, tidak terlalu banyak perkara boleh dilakukan.

Sewaktu menjadi menteri dulu, YB Maszlee juga tiada pengalaman, dan berusia muda. Perdana Menterinya Tun Mahathir pernah juga menyatakan kebanyakan ahli kabinetnya tidak berpengalaman.

4. “Apakah tiada inisiatif yang efisien dan groundbreaking untuk para siswa dan para akademik untuk melestarikan pengajian tinggi dan menjamin kemapanan budaya intelektual walaupun di kala wabak melanda?

Umum mengetahui bahawa wabak Covid-19 memaksa IPT ditutup.

Reaksi saya: Dalam keadaan krisis, dan terpaksa mematuhi SOP tidak banyak perkara yang boleh dilakukan dengan keberkesanan yang tinggi. Segala macam kegiatan ada bendungan. Tetapi ini tidak bermakna pihak KPT tidak menjalankan tugas sebaik boleh.

5. “Umum juga mengetahui bahawa para pelajar juga terpaksa melalui proses kuliah mereka lewat pembelajaran dalam talian berbanding di dewan-dewan kuliah sepertimana keadaan biasa. Namun, apakah itu sahaja langkah yang diambil sebagai alternatif? Apakah tiada pelan kontigensi untuk para pelajar dan para pensyarah sekeliannya?”

Reaksi saya:
Kalau YB ada rancangan yang bermanfaat, tolonglah beritahu KPT. Saya akan pastikan cadangan YB akan sampai kepada Menteri. Seseorang Islam dituntut untuk memperbetulkan keadaan yang difikirkan tidak sesuai, dengan cara tidak mendatangkan aib. Semua orang tahu hal ini, apatah lagi orang yang berilmu dalam agama.

Sewaktu YB Maszlee jadi menteri dulu, saya pernah berikan beberapa cadangan, tetapi YB membisu saja.

7. “Apa yang pasti, kempen ‘Malaysia Membaca’, ‘Dekad Membaca Kebangsaan’ dan ‘Read @Faculty’ yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lalu terus malap dan tidak meriah.”

Reaksi saya:
Itu adalah program bawaan YB Maszlee, tetapi kenapa YB letak jawatan sebagai menteri sewaktu berkuasa dulu dan tidak terus memupuk program ini. Alangkah baiknya sekiranya YB Maszlee menceritakan tentang kebaikan program-program ini kepada pengganti YB, supaya dapat diteruskan perlaksanaannya.

7. “Bukankah di kala wabak ini, dan di kala para siswa serta pensyarah tidak dapat ke dewan-dewan kuliah, sepatutnya kempen membaca diperhebatkan?

Bukankah kini waktu lebih banyak untuk membaca bagi para siswa yang berada di rumah? Bukankah kehidupan siswa itu sinonimnya dengan pembacaan?”

Reaksi saya: Pelajar universiti tidak perlu dikempen untuk membaca. Mereka sudah dewasa, dan tahu akan kepentingan membaca.
Pensyarah pun perlu dikempen untuk membaca jugakah?

8. “Apakah perpustakaan di IPT-IPT kini tidak boleh menyediakan sistem pinjaman buku dan pemulangan buku atas talian untuk para siswa yang terpaksa pulang ke rumah masing-masing?

Mungkin ia akan menyebabkan kos yang lebih, namun itulah tujuannya para pelajar membayar yuran pengajian mereka. Apakah ertinya yuran yang dibayar jika mereka tidak dapat menggunakan perkhidmatan di universiti semata-mata kerana mereka terpaksa belajar dari rumah?”

Reaksi saya:
Ini kerja yang patut dijalankan oleh setiap Naib-Canselor setiap universiti, dan bukannya kerja Menteri.

Saya dimaklumkan bahawa ramai Naib Canselor yang ada pada waktu ini adalah mereka yang telah dilantik oleh YB Maszlee sendiri.

9. “Apakah pihak perpustakaan negara, perpustakaan negeri dan perpustakaan daerah tidak dapat mengadakan sistem yang sama kepada para siswa yang terpaksa belajar dari rumah? Bukankah mereka yang lebih hampir dengan para siswa dan pelajar yang berada di rumah masing-masing? Apakah pihak KPT tidak terfikirkan usaha ini demi memastikan para siswa akan terus menjadikan membaca sebagai gaya hidup mereka di kala pandemik?”.

Reaksi saya:
Saya tahu mereka telah memikirkan cadangan yang baik daripada YB Maszlee ini. Agensi- agensi yang YB sebut itu bukan berada di bawah KPT. Lagi pun bukan semua agensi mempunyai buku dan bahan yang sesuai dengan bidang pengajian pelajar Universiti.

10. “Saya juga tertanya-tanya, apakah nasib program ‘Sasterawan @Faculty’ yang bertujuan untuk memasyhurkan para sasterawan negara di kalangan warga IPTA di menara gading? Apakah kini para sasterawan sudah diketepikan hanya kerana bertukarnya menteri di KPT? ”

Reaksi saya :
Jawabnya seperti di bagagian 8.
Elok YB telefon Naib-Naib Canselor yang YB lantik dan masih memegang jawatan. Kelak akan dapat jawapannya.

11. “Jika United Kingdom berbangga dengan Shakespeare, India berbangga dengan Tagore, Amerika Latin berbangga dengan Marquez, Republik Checz berbangga dengan Kafka, mengapa tidak warga IPT kita diperkenalkan dengan para sasterawan kita walau dari jurusan apakah mereka demi melestarikan identiti bangsa dan nusa?

Ini semua boleh disemarakkan dengan pelbagai aktiviti para sasterawan negara melalui dalam talian yang diusahakan oleh pihak universiti ataupun pihak KPT dengan usahasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga Institut Terjemahan Buku Negara (ITBN). Saya yakin barisan sasterawan negara kita ternanti-nantikan usaha seperti ini

Reaksi saya:
Ini tugas Naib Canselor dan Pengarah DBP. Tak perlu Menteri yang lakukan tugas ini. Mereka ini dilantik oleh YB Maszlee sendiri.

12, “Di kala pandemik ini juga kita dapat melihat bagaimana universiti-universiti terkemuka di negara-negara maju sibuk menyediakan kursus-kursus jangka pendek dalam talian.
Sewaktu PKP, saya sendiri telah mengikut kursus-kursus yang dianjurkan oleh Durham University, London School of Economics, Manchester University dan juga Teeside University. Saya juga sempat mempromosikan kursus-kursus dalam talian tersebut melalui pelantar media sosial saya, terutamanya Twitter.

Reaksi saya:
Eloklah YB buat begitu, mahu menimba ilmu. Tetapi jangan fikir itulah satu-satunya cara. Orang lain ada cara menuntut ilmu cara sendiri, yang belum tentu tidak lebih baik.
Lain padang lain belalang.
Berbalik saya kepada siapakah yang patut melakukan ini semua? Jawabnya Naib Canselor, bukan Menteri atau pegawai KPT.

Waktu saya menjadi Naib Canselor UM dulu, saya pernah buat kerjasama dengan Universiti Cambridge, Oxford Centre of Islamic Studies, Peking, Fudan, Xiamen, Seoul, Tokyo Medical and Dental, Ohio, Frankfurt dan banyak lagi.

14. “MQA perlu bersikap kreatif dan berfikir di luar kotak berhubung hal ini. Situasi yang dialami oleh warga IPT sekarang memerlukan penyelesaian dan pendekatan yang bukan konvensional.”

Reaksi saya: Kerja-kerja ini memerlukan masa, dan suasana yang tidak mengekang.
Birokrasi yang sedia ada tidak boleh dilanggar sewenang, tanpa terlebih dahulu difikirkan semasaknya. Kalau tidak berhasil nanti dikecam pula.

15. “Di waktu pandemik dan di kala berada di rumahlah para siswa memerlukan sokongan moral dan suntikan semangat untuk belajar. Kita telah disajikan dengan banyak berita mengenai krisis mental dan stress para pelajar sewaktu berada di rumah. Kemunculan menteri, para VC, TNC dan juga golongan intelek, secara berkala di laman web KPT, atau di mana-mana portal berita ikutan ramai dengan kata-kata semangat dan nasihat (yang tidak terlalu lama dan bukan ceramah) perlu ada. Kepimpinan amat diperlukan di waktu ini.”

Reaksi saya: Saranan YB Maszlee ini bagus. Yang jernih kita patut ambil.
Tapi sebagaimana saya telah katakan, ini adalah kerja VC, dan TNC, dan Dekan.

Takkanlah Menteri juga yang nak kena fikirkan untuk mereka.

Sekian pendapat saya sebagai pesara, tanpa memihak kepada siapa.

Bagi yang berwajib, saukkanlah air, mandikan diri.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here