Ada hikmah Piala Malaysia dibatalkan – tonggak Sabah

0
299
AZZIZAN Nordin, perantara Sabah (kiri). - Foto MFL

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

PASTI ada hikmah di sebalik pembatalan Piala Malaysia 2020 apatah lagi bagi Sabah yang tidak dapat menyertainya kerana kes Covid-19 di sana yang begitu tinggi dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Apa yang kami korbankan ialah demi keselamatan semua orang walaupun hakikatnya memang masih terasa sedikit sedih apabila terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Malaysia.

“Sekarang, saingan musim 2020 pun sudah berakhir, jadi kita tidak boleh lagi mengenang nasib apa yang sudah jadi sebaliknya memang mengharapkan yang lebih baik untuk Sabah pada musim depan,” kata perantara Tambadau, Azzizan Nordin.

JDT, juara Piala Sumbangsih 2020, Februari lalu selepas menewaskan Kedah 1-0. – Foto FB JDT.

Dengan kata lain pemain kebangsaan yang pernah beraksi menentang Taiwan dan Kemboja dalam siri persahabatan pada 7 dan 10 September 2018 ini ialah, “tiba masanya untuk buka ‘buku baharu 2021’.”

Sebagai pemain profesional katanya, perlu sentiasa mengambil positif apa jua situasi yang mendatang sebelum ini dan menjadikannya pengajaran untuk lebih bersedia dan lebih gagah.

“Banyak yang saya belajar pada musim ini untuk menjadi lebih kuat pada tahun hadapan dan harap keadaan akan kembali pulih seperti sediakala,” katanya dalam laman Facebook Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.

Azzizan ialah antara tonggak Tambadau menjuarai Liga Perdana 2019 malah melayakkan mereka ke Piala Malaysia 2020 dalam kalangan 11 terbaik Liga Super 2020 di bawah bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto.

Malangnya, MKN tidak memberikan pengecualian PKPB untuk mereka menyertai Piala Malaysia termasuk menghabiskan jadual Liga Super menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 31 Oktober lalu.

Johor Darul Ta’zim (JDT) juara Liga Super 2020, kali ketujuh berturut-turut. – Foto MFL

Mengenai pencapaian tempat ke-10 Liga Super, akui Azzizan, Sabah masih tercari-cari rentak untuk menyaingi lawan yang lebih berpengalaman sehingga menuntut banyak banyak kerja keras bagi memperbaikinya.

“Banyak lagi kekurangan kami lagipun liga musim ini hanya dijalankan secara separuh (11 perlawanan tanpa timbal balik selain Piala FA yang turut dibatalkan),” katanya.

Di sebalik itu Azzizan bersyukur Tambadau masih dapat bertahan dalam Liga Super 2021.

PULAU Pinang, juara Liga Perdana 2020 sekali gus dinaikkan ke Liga Super 2021. – Foto MFL

SENARAI PEMENANG LIGA MALAYSIA 2020

Piala Malaysia: -dibatalkan-
Liga Super: Johor Darul Ta’zim
Penjaring terbanyak: Ifedayo Olusegun (Selangor), 12 gol
Piala FA: -dibatalkan-
Piala Sumbangsih: Johor Darul Ta’zim
Liga Perdana: Pulau Pinang
Penjaring terbanyak: Casagrande (Pulau Pinang), 9 gol
Piala Pencabar: -dibatalkan-
Liga M3: -dibatalkan-
Piala Presiden: -dibatalkan-
Piala Belia: -dibatalkan –

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here