Trump meratap, Biden susun kabinet

0
312
FOTO: Joe Biden: Gage Skidmore from Peoria, AZ, United States of America (source: Joe Biden); User:TDKR Chicago 101 (clipping)Donald Trump: Shealah Craighead (source: White House)Сombination: krassotkin, CC BY-SA 2.0 , via Wikimedia Commons

Oleh AHMAD ABD HAMID

KETIKA Donald Trump terus meratapi kekalahannya kepada Joe Biden dan masih enggan mengaku kalah, Biden sudah memulakan langkah peralihan kuasa serta menyusun barisan kabinet.

Bakal presiden atau president elect  itu tidak peduli dengan dakwaan Trump bahawa pilihan raya presiden 2020 yang dimenanginya dicemari penipuan. Dia juga tidak kisah dengan ugutan Trump untuk mengambil tindakan mahkamah bagi menghalang Biden diisytiharkan pemenang.

Malah suara bantahan dan gertakan Trump pun sudah semakin malap, apatah lagi ada pasukan peguamnya sendiri menarik diri daripada mewakili beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Malah di kalangan pemimpin Republikan juga sudah kedengaran suara lantang yang mahu Trump mengaku kalah kerana realitinya jurang undi elektoral atau electoral votes yang diperoleh oleh Biden terlalu luas untuk dirapati.

Daripada jumlah keseluruhan 538 undi elektoral, Biden memperoleh 306 berbanding 232 yang diperoleh Trump, terlalu jauh daripada  jangkauan yang boleh digapai oleh Trump. Hanya 270 undi elektoral diperlukan untuk menang dan Biden telah melepasinya dengan lebihan yang banyak.

Bagi Biden keutamaannya kini ialah bersiap sedia menyediakan barisan kabinet dan pengisian pelbagai jawatan penting menjelang tarikh dia secara rasmi dinobatkan sebagai presiden Amerika ke-46 pada 20 Januari 2021.

Pada 11 November, Biden telah pun menamakan pembantu setianya sejak sekian lama, Ron Klain sebagai Ketua Kakitangan atau Chief of Staff  Rumah Putih. Jawatan ini merupakan antara jawatan terpenting di Rumah Putih.

Sebelum ini ketika Biden menjadi Naib Presiden di bawah Barrack Obama, Klain adalah juga ketua kakitangannya.

Dua lagi jawatan penting dalam pentadbiran Biden yang kini dalam proses pengisian ialah Setiausaha Negara dan Setiausaha Pertahanan. Kedua-dua jawatan ini memang sentiasa menjadi fokus dan menonjol dalam pentadbiran mana-mana presiden.

Memetik laporan The Guardian, sehingga  ini nama yang disebut-sebut bakal dilantik mengisi dua jawatan penting itu kedua-duanya adalah wanita. Susan Rice diramal dilantik sebagai Setiausaha Negara sementara Michele Flournoy sebagai Setiausaha Pertahanan.

Kedua-dua mereka pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Obama-Biden sebelum ini. Dipercayai pemilihan mereka kerana keterampilan dan penampilan yang dimiliki   serta prestasi cemerlang yang mereka pamerkan sebelum ini.

Susan Rice, wanita kulit hitam, yang berkhidmat sebagai penasihat keselamatan negara dan duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sewaktu pentadbiran Obama, dianggap calon sesuai mengetuai Jabatan Negara.

Flourney pula sebelum ini merupakan penasihat pertahanan kanan kepada Presiden Bill Clinton dan Obama. Selepas meninggalkan jawatan kerajaan, dia banyak terlibat dengan tuas-tugas perundingan berhubung kait dengan kontrak ketenteraan.

Jika dia terpilih, bererti Flourney akan mencatat sejarah menjadi Setiausaha Pertahanan wanita pertama di Amerika.

Gabenor Rizab Persekutuan atau Federal Reserve, Lael Brainard, dijangka dinamakan sebagai Setiausaha Perbendaharaan. Bekas senator yang tewas dalam pemilihan senat di Alaska, Doug Jones atau Sally Yates, pemangku peguam negara di bawah Trump sebelum dipecat, adalah calon-calon bagi jawatan Peguam Negara.

Sementara itu Pete Buttigieg, bekas Datuk Bandar South Bend, Indiana, yang merupakan antara juru kempen Biden selepas dia sendiri menarik diri daripada saingan jawatan presiden 2020, juga dijangka mendapat jawatan. Dia diramal menjadi duta Amerika ke PBB.

Kesemua lantikan bagaimana pun bergantung kepada kelulusan senat. Ini adalah antara cabaran besar Biden apabila memasuki Rumah Putih iaitu melepasi halangan senat yang kini dikuasai oleh Republikan.

Ia bukan sahaja berhubung pelantikan kabinet tetapi juga jawatan-jawatan penting lain, di samping kelulusan pelbagai program yang bakal dilaksanakan dalam pentadbiran Biden. Biden perlu bijak menanganinya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here