Memahami polemik negara, agama dan kebebasan di Perancis

0
429

RENTETAN daripada komen-komen kontroversi Presiden Perancis Emmanuel Macron terhadap Islam serta tindakan beliau mempertahankan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW, umat Islam di seluruh dunia telah bangkit menyatakan bantahan dan amarah. Sehubungan dengan itu, Macron telah mengeluarkan beberapa kenyataan balas bagi membuat penjelasan dan meredakan ketegangan. Beliau berulang kali mempertahankan prinsip kebebasan bersuara, termasuk kebebasan untuk memperolokkan agama. Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan hak kebebasan beragama bebas diamalkan termasuk oleh umat Islam Perancis.

Namun begitu, dakwaan ini dapat dipersoalkan kesahihannya dalam konteks realiti hubungan antara negara dan agama di Perancis. Ini kerana Perancis mempunyai undang-undang khusus bagi menangani masalah anti-semitisme. Sebarang perbuatan menzahirkan kebencian terhadap masyarakat Yahudi adalah dilarang, termasuk perbuatan mengkritik negara Israel dan rejim Zionis. Justeru, timbul persoalan berkenaan layanan berbeza terhadap agama Islam apabila perbuatan mempersendakan Islam yang menyemarakkan Islamofobia di Perancis dipertahankan atas nama kebebasan bersuara.

Selain itu, reaksi Macron sendiri dalam menghadapi kritikan keras masyarakat antarabangsa turut dipersoalkan. Ini kerana beliau sendiri seakan melatah apabila dikritik tajam oleh pemimpin dunia yang lain, sebagaimana yang dilakukan oleh Presiden Turki yang menyifatkan beliau sebagai memerlukan ‘rawatan mental’. Begitu juga Kementerian Luar Perancis yang menyeru supaya seruan boikot terhadap produk Perancis dihentikan serta-merta dan menganggapnya sebagai tidak berasas. Hal yang sama berlaku apabila kehidupan peribadi beliau menjadi mangsa olokan seperti tindakan Presiden Brazil yang mempersendakan jarak perbezaan usia diantara Macron dan isterinya.

Seterusnya, dakwaan bahawa kebebasan beragama bebas diamalkan di Perancis turut dipertikaikan. Larangan pemakaian simbol agama seperti hijab bagi muslimah, mempamerkan salib bagi penganut agama Kristian dan lilitan kepala lelaki Sikh di sekolah, bangunan kerajaan serta tempat awam yang lain jelas menyekat kebebasan mengamalkan ajaran agama. Bahkan tindakan keras telah diambil kepada mereka yang ingkar seperti tindakan buang sekolah kepada pelajar. Justeru itu, jelaslah dakwaan Macron berkenaan kebebasan bersuara dan beragama bukanlah sesuatu yang mutlak. Terdapat situasi di mana kebebasan bersuara serta beragama dapat dihalang melalui campur tangan negara. Oleh itu, timbul persoalan berkenaan pola hubungan antara negara, agama dan prinsip kebebasan di Perancis.

Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu memahami konteks yang lebih menyeluruh berkenaan hubungan antara negara dan agama di Perancis. Perancis mengamalkan dasar sekularisme yang memisahkan agama daripada negara. Sekularisme merupakan ideologi dan pandangan alam (worldview) yang memfokuskan kepada aspek keduniaan dan materialisme dan meninggalkan aspek keagamaan. Manakala sekularisme versi Perancis yang dikenali sebagai laïcité dapat merupakan sekularisme garis keras yang bersifat asertif. Melalui dasar ini, sekularisme dianggap sebagai ideologi rasmi negara dan perlu memainkan peranan aktif memastikan ruang awam adalah bebas daripada unsur keagamaan.

Selain itu, dasar Perancis turut kuat dipengaruhi oleh elemen republikanisme, sebuah ideologi yang mementingkan hubungan langsung rakyat dengan negara serta nilai-nilai asas yang perlu diterapkan negara kepada rakyatnya. Ini menjadi justifikasi bagi dominasi institusi negara dalam ruang awam untuk menerapkan nilai sekularisme sebagai identiti negara dan seterusnya menghalang pengaruh nilai keagamaan. Elemen kepelbagaian budaya dan agama yang terhasil daripada kedatangan imigran luar juga kurang diambil kira dalam republikanisme Perancis. Bahkan para imigran ini yang dilihat perlu berintegrasi sepenuhnya kedalam masyarakat asal Perancis dan mengutamakan nilai-nilai masyarakat sekular yang sedia ada.

Dengan itu, kesemua elemen sekularisme, laïcité dan republikanisme ini memainkan peranan besar dalam menentukan perhubungan antara negara, agama dan kebebasan di Perancis. Ini tercermin melalui penjelasan Emmanuel Macron terhadap prinsip kebebasan yang diamalkan di negara beliau. Undang-undang anti-semitisme digubal untuk menjaga hak masyarakat Yahudi daripada terus didiskriminasikan. Dalam hal ini Macron membezakan antara kebebasan untuk mempersendakan agama sebagai sebuah ajaran (blasphemy), dengan larangan untuk mendiskriminasikan penganut agama berkenaan (public defamation). Oleh itu perbuatan mempersendakan dan memperolokkan Judaisme sebagai sebuah ajaran agama adalah dibenarkan, namun perbuatan menzahirkan kebencian terhadap penganutnya dianggap sebagai anti-semitisme yang dilarang.

Begitu juga halnya dengan reaksi beliau yang mengkritik tindakan boikot serta serangan peribadi yang ditujukan terhadap beliau. Ini dianggap sebagai melampaui batasan kerana dapat memudaratkan kehidupan masyarakat serta imej peribadi. Dalam kedua hal ini, jelas bahawa ideologi sekularisme telah dijadikan kayu ukur bagi menentukan had kepada kebebasan bersuara. Fokus hanya diberikan terhadap perbuatan yang mampu memberikan kesan buruk terhadap kehidupan fizikal serta material manusia, sedangkan perbuatan memburukkan imej dan simbol suci agama dianggap tidak mendatangkan sebarang mudarat fizikal dan material kepada sesiapa, justeru dibenarkan atas dasar kebebasan bersuara.

Manakala dalam isu kebebasan mempraktikkan agama, laïcité dan republikanisme memainkan peranan penting dalam membatasi kebebasan beragama sekadar dalam ruang peribadi kehidupan rakyat, sedangkan interaksi di ruangan awam perlu didominasi oleh ideologi negara iaitu laïcité yang menghalang sebarang simbol serta nilai agama. Hal ini bersesuaian dengan realiti ajaran Kristian di Barat hari ini yang telah mengalami proses sekularisasi, iaitu pemisahan antara institusi gereja dan negara, dengan ruang politik, ekonomi, dan sosial telah lepas bebas daripada kawalan agama. Namun begitu masalah timbul apabila ideologi ini terpaksa berhadapan dengan sistem agama yang bersifat komprehensif seperti yang terdapat pada agama Islam. Dalam hal ini, negara terpaksa campur tangan untuk menghadkan peranan agama kepada aspek peribadi semata-mata.

Walhasil, jelas bahawa prinsip kebebasan bersuara dan beragama yang dilaungkan bukanlah bersifat neutral dan sama rata kepada semua. Sebaliknya, ia sangat dipengaruhi oleh ideologi yang menjadi dasar kepada negara. Dalam hal ini, adalah menjadi satu ironi apabila prinsip kebebasan itu sendiri dijadikan alat yang berkhidmat untuk memperjuangkan ideologi yang bersifat memusuhi agama, manakala dalam masa yang sama mengekang kebebasan beragama. Ternyata bahawa kita sedang bermain di atas padang yang tidak sama rata, apabila hak kebebasan bersuara untuk memusuhi dan mempertikaikan agama dibiarkan sewenangnya di ruang awam manakala hak kebebasan beragama pula dihadkan dalam ruang peribadi semata-mata.

*Muhamad Sayuti Mansor merupakan Pegawai Khas kepada CEO dan Penganalisis di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia. Beliau boleh dihubungi di: [email protected]

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here