Tirai Liga Malaysia 2021 disingkap 26 Februari

0
388
JDT (kiri) akan mengulangi perebutan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah dengan Kedah sebagai pembuka tirai Liga M 2021, Februari depan. - Foto FB JDT.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

JANGAN pandang belakang! Yang berlalu, biarkan berlalu.

Sekalipun penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) belum menunjukkan isyarat bakal beransur kurang atau dilonggarkan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terus fokus kepada perancangan masa depan.

Melangkah ke depan daripada pembatalan Piala Malaysia 2020 pada 12 November lalu, MFL sebaliknya menetapkan kalendar baharu pertandingan musim 2021, hari ini.

Tirai saingannya bakal disingkap dengan perebutan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah antara penyandang, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada 26 Februari 2021.

“JDT juga ialah juara Liga Super 2020 dan Kedah sebagai naib juara, dipilih jadi lawannya dalam mesyuarat ke-23 Lembaga Pengarah MFL baru-baru ini ekoran pembatalan Piala FA dan Piala Malaysia akibat Covid-19.

“Perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Perdana pula bermula pada 27 dan 28 Februari 2021 dan berakhir pada 20 dan 21 Ogos 2021.

“Menyusulnya ialah Piala FA pada 2 Mac 2021 dengan finalnya, 11 September 2021 manakala Piala Malaysia bermula 17 September 2021 sehingga 27 November 2021,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan dalam laman Facebook rasmi MFL hari ini.

Saingan Piala Pencabar untuk pasukan-pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia pula dijadualkan pada 3 September 2021 sementara perlawanan akhir pertamanya pada 6 atau 7 November 2021 diikuti final kedua pada 13 atau 14 November 2021.

“Bagi persiapan pasukan musim 2021, MFL menetapkan tempoh pendaftaran pertama pemain-pemain ialah mulai 21 November 2020 hingga 14 Februari 2021 atau 12 minggu.

“Tempoh pendaftaran kedua pula bermula pada 12 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021 (dua minggu),” katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

KEDAH (kiri) dipilih mencabar juara bertahan Piala Sumbangsih, JDT atas status naib juara Liga Super 2020 ekoran pembatalan Piala Malaysia, musim ini. – Foto MFL.

Perancangan kalendar baharu Liga Malaysia 2021 oleh MFL katanya, turut mengambil kira pelbagai aspek seperti proses peralihan FA kepada FC dengan FAM menyerahkan pengurusan FC kepada MFL secara rasmi pada 1 Januari 2021 setelah segala urusan semakan fasa kedua perpindahan selesai.

“MFL turut mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 (anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa – FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia – AFC) melibatkan pasukan kebangsaan, tarikh-tarikh Liga Juara Asia 2021 dan Piala AFC 2021 yang disertai tiga pasukan Liga Malaysia (JDT, Kedah dan Terengganu FC).

“Selainnya ialah Piala AFF 2021 pada 11 April hingga 8 Mei 2021 disusuli Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC (di Uzbekistan) dari 3 hingga 20 Mac 2021 (disertai skuad remaja negara bimbingan Bradley Maloney),” katanya.

Penetapan kalendar pertandingan MFL 2021 juga ujarnya, tertakluk kepada penetapan kalendar perlawanan antarabangsa (pasukan kebangsaan dan kelab) oleh FIFA, AFC dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) namun sebarang pindaannya masih bergantung kepada kelulusan Lembaga Pengarah MFL.

Lembaga berkenaan jelasnya, turut meluluskan prosedur pengambilan dan pendaftaran pemain dan pegawai warganegara asing musim 2021 yang dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan.

“Pasukan-pasukan yang hendak mengambil dan mendaftar pegawai dan pemain warganegara asing ini, mesti memohon secara terus melalui surat rasmi kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dengan menyertakan maklumat seperti senarai nama, salinan pasport sah dan maklumat berkaitan negara asal mereka.

“Mulai musim 2021, semua pemain yang berdaftar dalam pasukan Liga Super dan Perdana wajib menandatangani kontrak sebagai pemain profesional termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM atau kini dinamakan Armed Forces FC),” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here