‘Taring’ Harimau Malaya menumpul, UAE kian ke depan

0
338
JURANG persediaan UAE (kanan) dan Malaysia menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semakin besar ketika ini.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

HARIMAU Malaya diakui semakin banyak ketinggalan jika dibandingkan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lawannya apabila menyambung semula pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G pada Mac tahun depan.

Akibat penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), segala perancangan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe untuk membuka kem latihan pusat selama seminggu selepas Piala Malaysia 2020, tidak kesampaian.

Sudahlah Piala Malaysia yang dibatalkan 12 November lalu mengurangkan tahap kecergasan perlawanan pemain-pemain, momentum, persefahaman dan kerjasama skuad negara juga pasti sukar dibentuk.

“Memang kita sudah banyak ketinggalan tetapi apa hendak buat? Kami kena akur (dengan PKPB). Kita hendak keluar negara tidak boleh, hendak jemput pasukan lawan ke sini pun tidak boleh (bermain perlawanan persahabatan).

“Pasukan kita sudah banyak ketinggalan daripada segi pembinaan semula momentum, persefahaman dan kerjasama. UAE, Vietnam malah Thailand (dua lagi anggota Kumpulan G) dilaporkan meneruskan persediaan dengan siri perlawanan persahabatan dan kem latihan.

HARIMAU Malaya turut akan mengharungi Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) dari 11 April hingga 8 Mei 2021.

“Mulanya saya rancangkan kem latihan seminggu selepas perlawanan akhir Piala Malaysia (22 November) tetapi semuanya terpaksa dibatalkan,” kata ketua jurulatih kelahiran Kedah yang membawa Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2018.

UAE yang diterajui Jorge Luis Pinto dari Colombia sejak Jun lalu, mengadakan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Dubai dengan dikalahkan Uzbekistan 2-1 (12 Oktober), mengalahkan Tajikistan 3-2 (13 November) dan tewas kepada Bahrain 3-1, dua hari lalu.

Malaysia ditewaskan UAE 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam pertembungan pertama Kumpulan G kelayakan pada 10 September 2019 namun jadual aksi keduanya sudah dipinda dua kali, dari 26 Mac dan 8 Oktober lalu ke Mac depan.

Kali terakhir skuad negara menikmati aksi antarabangsa ialah ketika menewaskan Indonesia 2-0 di Bukit Jalil pada 19 November 2019 juga dalam kelayakan itu.

Semakin menggendalakan perancangan Cheng Hoe ialah penarikan diri wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada baki saingan Kumpulan G Liga Juara Asia (ACL) 2020 yang sepatutnya disambung esok di Doha, Qatar akibat PKPB atas arahan Majlis Keselamatan Negara.

Ketiadaan Harimau Selatan turut melenyapkan peluang tonggak Harimau Malaya menimba pendedahan tinggi perlawanan antarabangsa menentang Guangzhou Evergrande (China), Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) dan Vissel Kobe (Jepun) dalam peringkat awal ACL.

TAN CHENG HOE

Antaranya penjaga gol Farizal Marlias, bek tengah Aidil Zafuan Radzak, fulbek Lawrence Corbin-Ong dan Matthew Davies serta penyerang Syafiq Ahmad.

Selepas kalendar kelayakan baharu namun tanpa tarikh khusus diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 12 November lalu, skuad negara juga dijadualkan menanti Vietnam di Bukit Jalil pada Mac 2021 dan bertandang ke Thailand, Jun 2021.

Harimau Malaya kini di anak tangga kedua Kumpulan G, mengekori Vietnam dengan sembilan mata selepas turut menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta pada 5 September 2019 dan Thailand 2-1 di Bukit Jalil, 14 November 2019 selain dikalahkan Vietnam 1-0 di Hanoi, 10 Oktober 2019.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here