Ikut arahan parti, bukan ketetapan sendiri, Annuar Musa beritahu Ku Li

0
235

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa mengingatkan Tengku Razeleigh Hamzah bahawa setiap ahli Parlimen perlu patuh pada arahan ketua whip dalam membuat undian bagi menyokong rang undang-undang dibawa kerajaan, termasuk Belanjawan 2021.

Annuar berkata, kenyataan ahli Parlimen Gua Musang yang meminta ahli Parlimen membuat undian di Dewan Rakyat mengikut ketetapan sendiri dan tidak mengikut ketetapan parti adalah tindakan yang melanggar mandat diperolehi parti semasa pilihan raya sebelum ini.

“Kita semua faham, kita adalah wakil rakyat yang dipilih oleh parti. Kita bertanggunjawab untuk dokong keputusan parti dan kita juga buat keputusan menggunakan sistem whip.

“Bila parti buat keputusan, ketua whip akan berikan arahan dan kita akan undi mengikut arahan whip.

“Kalau ada ahli parti yang hendak bertindak sendiri, maka bila sampai pilihan raya, tidak perlu lagi parti, buat keputusan sendiri jugalah.

“Kalau tidak mahu ikut parti, tidak mahu patuh pada arahan parti, maka kena bersedia juga terima tindakan tertentu (yang dibuat oleh) parti,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Annuar berkata, ketua whip parti ketika ini sudah memberikan arahan dan ahli Parlimen BN akan menyokong RUU yang dibawa kerajaan dan menyokong RUU Belanjawan 2021.

Terdahulu, Tengku Razaleigh seperti oleh dilaporkan The Malaysian Insight berkata, parti politik tidak boleh menentukan corak pengundian di Dewan Rakyat kerana ahli Parlimen perlu mengundi berdasarkan kehendak pengundi di kawasan masing-masing.

Katanya, walaupun beliau adalah ahli Parlimen dari Umno, partinya tidak berhak menentukan corak pengundian kerana dirinya dipilih pengundi di kawasannya.

Annuar ketika ditanya mengenai gesaan ahli Parlimen veteran itu supaya Umno diberi kedudukan lebih tinggi dalam pentadbiran berkata, dalam situasi kini, adalah tidak sesuai untuk mendesak sebarang kedudukan ketika rakyat berdepan pelbagai kesukaran.

“Adalah sangat salah kalau pada waktu ini pemimpin mana-mana parti hendak ungkit siapa besar dan siapa kecil.

“Ini kerana, kita bermuafakat sebelum bentuk kerajaan, walaupun Umno mempunyai ramai ahli di Dewan Rakyat, kita sedar kita sahaja tidak boleh bentuk kerajaan.

“Hendak bentuk kerajaan memerlukan mereka yang dalam Pakatan Harapan keluar. Maka PPBM di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin buat keputusan dan sebahagian dari PKR juga buat keputusan besar. Kalau mereka tidak keluar PH, Umno tidak boleh jadi kerajaan,” katanya.

Annuar turut mengingatkan Tengku Razaleigh bahawa Muhyiddin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menjawat tugas sebagai perdana menteri, berhak untuk menentukan anggota Kabinetnya sendiri dan merupakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

“Umno dan presiden Umno sendiri sudah berjiwa besar. Umno juga sentiasa ambil pendekatan positif dan presiden juga menegaskan akan bersama dengan Perikatan Nasional.

“Kita bersama dengan perdana menteri dan tumpu pada permasalahan rakyat.

“Jadi, apa yang Tengku Razaleigh sebutkan itu, anggaplah sebagai pendapat peribadi dan hormati pendapat itu sebagai pendapat seorang ahli Parlimen,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/19/ikut-arahan-parti-bukan-ketetapan-sendiri-annuar-musa-beritahu-ku-li/
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here