Malaysia Boleh! 80 pensyarah UM tersenarai 2% saintis terbaik dunia

Oleh Hashim Yaacob FRCPath dan Adi Sukma LLM

MINGGU lalu, Universiti Malaya (UM) memaklumkan bahawa 80 pensyarahnya adalah antara dua peratus saintis terbaik dunia.

Ia adalah hasil satu kaji selidik yang dijalankan oleh Stanford University, Amerika Syarikat.

Stanford University ialah universiti yang terbilang dalam dunia mengikut penarafan QS untuk beberapa tahun.

Pada tahun 2021, Stanford University menduduki tangga ke-2, dikalahkan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Daripada 80 orang saintis terbilang UM itu: 25 adalah Cina, 24 Melayu, 6 India dan 25 warganegara asing.

Ada di antara mereka terdiri daripada profesor-profesor yang telah bersara selama sudah 20 tahun dahulu. Informasi mengenai kaji selidik itu dipaparkan di hujung rencana ini.

Berpandukan kaji selidik Stanford University itu, penulis merumus seperti berikut:

1. Dalam keadaan di mana kesempatan yang sama diberikan, semua manusia tidak mengira apa pun keturunan mempunyai kebolehan yang setanding. Pencapaian peratus orang India lebih rendah kerana peratusan penduduk orang India di Malaysia adalah lebih kurang 8% sahaja.

2. Bilangan saintis yang tergolong dalam dua peratus itu tidak sebegitu tinggi daripada Malaysia kerana Malaysia adalah negara sedang membangun berbanding dengan kebanyakan negara-negara di Eropah, Amerika Syarikat, Rusia, India, China, Jepun dan lain-lain.

3. Yang paling ketara ialah terdapatnya profesor yang sudah lama bersara (selama lebih kurang 20 tahun atau kurang) tetapi masih berada di dalam kategori dua peratus saintis terbaik itu. Apakah maknanya ini apabila ditranslasikan kepada kedudukan sesebuah universiti di dalam penarafan universiti dunia yang dibuat oleh QS World Ranking Organization?

Pada tahun ini, Universiti Malaya menduduki tangga ke-59 mengikut penarafan QS. Salah satu daripada kriteria penarafan QS ialah rujukan (citation) yang dibuat oleh penyelidik-penyelidik ke atas penerbitan yang telah dihasilkan oleh kakitangan-kakitangan akademik.

Maka bolehlah dianggap bahawa kedudukan ke-59 Universiti Malaya itu bukanlah hanya semata-mata kerana kewibawaan kakitangan-kakitangan akademik yang masih berkhidmat sahaja. Ini ialah kerana rujukan kepada sesuatu penerbitan biasanya dibuat bertahun-tahun setelah kakitangan-kakitangan yang menerbitkan artikel-artikel mereka sudah lama bersara.

Kita bolehlah berasa lega kerana sekurang-kurangnya mereka masih tidak ketinggalan. Tetapi kita tidak boleh berselesa dengan pencapaian ini. Kita mesti teruskan usaha untuk berjaya dengan lebih tinggi.

Angin kencang di Bukit Seguntang,
Panggilan orang Si Mahameru,
Angin sudah meniup belakang,
Tebarkan layar tambahkan laju.

 

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here