Jangan ugut dengan tindakan undang-undang – PAC

0
230

KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyifatkan kenyataan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bahawa ia sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi PAC sebagai tidak patut sama sekali dan suatu percubaan untuk mencabar serta mencabuli keutuhan institusi Parlimen.

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata tindakan YWP itu adalah berkenaan Laporan PAC berhubung Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibentangkan di Parlimen, Rabu lalu.

“Segala tuduhan terhadap laporan berkenaan adalah sama sekali tidak berasas dan PAC telah menjalankan siasatan terhadap mana-mana isu tanpa prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen hari ini.

Wong berkata jawatankuasa itu memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mempertikaikan kerja PAC serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengerusi atau ahli PAC ketika mereka menjalankan tugas.

“Sebarang tuduhan atau ugutan kepada PAC atau mana-mana ahli jawatankuasa ini berhubung isu yang sedang disiasat atau laporan yang dibentangkan jelas mencampuri bidang kuasa Parlimen sebagai cabang legislatif di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“PAC tidak akan tunduk kepada tuduhan atau ugutan mana-mana pihak dalam menjalankan tugas jawatankuasa ini seperti yang termaktub dalam undang-undang negara,” katanya.

Kelmarin, Wong dilaporkan berkata YWP didapati terbabit dalam urus niaga meragukan membabitkan penjualan 97 plot tanah DBKL kepada syarikat swasta.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here