ABK 2020 hanya secara online

0
347
AB. GHANI HASSAN

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

BUKAN seperti anugerah hiburan anjuran sebuah media yang baru-baru ini hangat dipertikaikan ramai warganet di tengah-tengah penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selaras norma baharu dek Covid-19, tiada kehadiran bersemuka walaupun buat para pemain dan pegawai pasukan seperti artis-artis yang memeriahkan anugerah hiburan itu, bakal ditampilkan oleh Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2020.

ABK yang dijangka berlangsung pada bulan depan, sudah memecah tradisi penganjuran tahunannya iaitu beberapa hari selepas perlawanan akhir Piala Malaysia.

SAFAWI Rasid, pemenang empat kategori ABK 2019 dan Pemain Paling Bernilai dua kali berturut-turut.
PENYERANG Selangor, Ifedayo Olusegun pemenang Kasut Emas Liga Super ABK 2020.
DENGAN rekod tanpa kalah dan kejuaraan Liga Super, JDT dijangka menguasai kebanyakan kategori ABK 2020.

Final Piala Malaysia edisi ke-54 (sejak menggantikan Piala HMS Malaya) mulanya dijadualkan pada 22 November ini tetapi pertandingan itu sudah pun dibatalkan 12 November lalu ketika mahu memasuki pusingan suku akhir setelah MKN masih tidak membenarkannya berlangsung walaupun di negeri-negeri berkecuali PKPB.

“ABK Ke-15, tahun ini hanya dilangsungkan secara atas talian, kata Datuk Ab. Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku penganjurnya, kepada BebasNews.

Pembatalan tiga pertandingan utama musim ini iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Pencabar anjuran bersama MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut dijangka mengurangkan bilangan kategori ABK kali ini.

“ABK 2020 tetap ada tahun ini, cuma hanya dalam talian jadi kita tidak perlu bimbang akan PKPB dan Covid-19.

“Lagipun ramai pemain import pasukan musim ini sudah pulang ke negara masing-masing (sejak Piala Malaysia dibatalkan pada 12 November lalu).

“Kategori tahunan seperti Kasut Emas bagi penjaring terbanyak pasti ada bagi Liga Super dan Perdana tetapi jumlah kategori lain masih diperhalusi, dikurangkan atau tidak, akan diketahui minggu depan,” katanya yang juga Naib Presiden FAM.

Gara-gara Covid-19 dan PKPB juga, Liga Super dan Perdana terpaksa dijalankan secara separuh saingan tanpa timbal balik (11 perlawanan sahaja) malah pernah ‘dicutikan’ dari 16 Mac hingga 28 Ogos lalu.

Pertandingan anjuran lain FAM seperti Liga M3, Piala Belia (bawah 19 tahun), Piala Presiden (bawah 21 tahun) juga dibatalkan mulai Jun lalu biarpun beberapa perlawanan awal sudah diharungi pasukan-pasukan.

ABK Ke-14 di sebuah hotel di Bangi, Selangor pada 15 November 2019 menyaksikan sehingga 27 kategori yang dipertandingkan dengan tiga daripadanya kategori baru iaitu Anugerah Pengadil Berpotensi, Pemain dan Pasukan Terbaik Liga Bola Sepak Amatur M3.

Kategori tetap lain termasuk Pemain Paling Bernilai, Pemain Muda Harapan, Jurulatih Terbaik, Penyerang Terbaik, Perantara Terbaik, Benteng Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Import Terbaik.

Agak pelik kategori Kasut Emas ABK tahun lalu yang merangkumkan jaringan semua pertandingan MFL-FAM, masih mahu ‘berlewah’ kerana mempertandingkan kategori Penjaring Terbanyak bagi Liga Super dan Perdana selain mengkhususkan pula kepada pemain tempatan.

Sayap kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid membolot empat kategori ABK 2019 iaitu Pemain Paling Bernilai, Penyerang Terbaik, Pemain Paling Popular dan Penjaring Tempatan Terbanyak.

Anak jati Dungun, Terengganu itu kini dipinjamkan semusim ke kelab Liga Primeira Portugal, Portimonense SC selepas JDT mengesahkan gelaran Liga Super mereka kali ketujuh berturut-turut sejak 2014 dengan membenam Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 2 Oktober lalu.

Penjaring terbanyak Liga Super dan Perdana 2020, Ifedayo Olusegun dan Casagrande akan menerima anugerah Kasut Emas edisi ke-15 ABK selepas masing-masing menyumbat 12 dan sembilan gol buat Selangor dan Pulau Pinang.

IMBAS KEMBALI SENARAI PEMENANG ABK 2019
Pemain Paling Bernilai: Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim – JDT)
Pemain Muda Harapan: Akhyar Rashid (JDT)
Jurulatih Terbaik: Dollah Salleh (Pahang)
Penyerang Terbaik: Safawi Rasid (JDT)
Perantara Terbaik: Mohamadou Sumareh (Pahang)
Benteng Terbaik: Shahrul Saad (Perak)
Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)
Pemain Import Terbaik: Diogo Luis Santo (JDT)
Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun (JDT)
Pemain Paling Popular: Safawi Rasid (JDT)
Pasukan Terbaik: JDT
Penyokong Terbaik: JDT
Permainan Adil: Terengganu FC II
Kasut Emas: Fernando Rodriguez (Kedah)
Penjaring Terbanyak Liga Super: Kpah Sherman (PKNS FC)
Penjaring Tempatan Terbanyak Liga Super: Safawi Rasid (JDT)
Penjaring Terbanyak Liga Perdana: Zarko Korac (UiTM FC)
Penjaring Tempatan Terbanyak Liga Perdana: Bobby Gonzales (Sarawak)
Anugerah Mesra Media: B. Sathianathan (Selangor)
Laman Sesawang Terbaik: JDT
Media Sosial Terbaik: JDT
Anugerah Persahabatan: Nicol David (skuasy) & Lee Chong Wei (badminton)
Anugerah Komuniti: The Ohana Project
Anugerah Pengadil Berpotensi: Tuan Mohd. Yassin Tuan Mohd. Hanafiah
Pemain Terbaik AFL Liga M3: Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (Kelantan United)
Pasukan Terbaik AFL Liga M3: Armed Forces FC

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here