Patriot tuntut Jabatan Imigresen, JPN jalani pembaharuan

    0
    513

    PERSATUAN Patriot Kebangsaan berpendapat, tangkapan demi tangkapan ke atas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menunjukkan kelemahan agensi itu.

    Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji, berkata sukar dipercayai anggota JIM terbabit dibiar melakukan kegiatan haram masing-masing selama lebih setahun tanpa disedari atasan mereka, kecuali jika pihak atasan sendiri terbabit.

    Mohamed Arshad turut mengambil contoh salah laku kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara di Pulau Pinang yang ditahan pada tahun lalu.

    Untuk rekod, enam orang termasuk penolong pengarah JPN dikenakan dengan 32 tuduhan memalsukan surat beranak Malaysia dan Mykad untuk dijual kepada orang asing dari China.

    Menurut Mohamed Arshad, JIM dan JPN adalah dua jabatan kritikal yang mesti diteliti oleh agensi penyiasatan dan keselamatan kerajaan yang berkaitan.

    “Segala kegiatan haram yang dilakukan kakitangan kedua-dua agensi itu sama dengan pengkhianatan yang serius, dan kerajaan tidak boleh sama sekali bertoleransi,” katanya.

    Justeru Patriot menggesa kerajaan merombak sepenuhnya kedua-dua jabatan tersebut dan memastikan ketuanya mengambil tanggungjawab penuh jika berlaku kegagalan pada masa depan.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menahan 50 individu kerana disyaki terbabit dengan sindiket tertentu. Seramai 28 daripada suspek merupakan anggota JIM.

    Seorang daripada mereka dilaporkan berpangkat rendah namun memiliki pelbagai kenderaan mewah seperti Phantom Rolls Royce, Mustang, Range Rover dan Audi.

    https://bit.ly/2UNpyTW
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here