Bekas veterinar zoo gesa rombakan besar, ambil alih oleh kerajaan

    0
    346
    FOTO: Kerina yin at ms.wikipedia, Public domain, via Wikimedia Commons

    DUA bekas veterinar di Zoo Negara berkata, rombakan menyeluruh organisasi itu perlu dilakukan untuk menyelamatkan zoo berkenaan, yang dikatakan berada di ambang penutupan.

    Memberi respons terhadap laporan yang menyebut bahawa tabung kecemasan Zoo Negara hanya cukup untuk bertahan selama 3 bulan lagi, kedua-dua veterinar itu berkata, zoo itu berdepan masalah salah urus sejak sekian lama.

    Dr S Vellayan, yang bekerja di zoo itu selama lebih 27 tahun memberitahu FMT bahawa kerajaan harus mengambil alih daripada Persatuan Zoologi Malaysia dan mengurus zoo tersebut seperti Zoo Singapura, yang dikendalikan oleh organisasi milik kerajaan, Temasek Holdings.

    “Rombak dan masukkan individu yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, ada pengalaman praktikal langsung serta kemahuan untuk bekerja dan belajar,” kata Vellayan.

    Katanya Zoo Negara, yang pernah menjadi zoo terbaik di rantau ini, kini “ketinggalan 60 tahun daripada zoo yang lebih maju”. Ia ketinggalan berbanding zoo yang pernah datang memohon bantuan, seperti Zoo Singapura.

    Seorang lagi veterinar, Dr Reza Singam, yang berkhidmat di Zoo Negara pada awal 2000-an, berkata, zoo itu mempunyai “banyak potensi” jika diurus dengan baik.

    Ia sepatutnya diketuai oleh individu yang berminat dengan haiwan atau mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan zoologi.

    Katanya ketika berkhidmat di situ, beliau menyaksikan “keputusan dibuat oleh orang yang tidak berkelayakan, yang memberi kesan ke atas kesejahteraan haiwan”.

    Walaupun mereka berdua tidak memfailkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun mereka sedar tentang kegiatan yang tidak menyenangkan yang dilakukan oleh pekerja dan kepimpinan zoo.

    Vellayan berkata, situasi seperti pekerja menjual tiket curi, harga makanan dinaikkan supaya mereka yang membuat pembelian boleh mengambil lebihannya bukanlah luar biasa.

    Beliau berkata, berlaku amalan pilih kasih dalam kalangan kakitangan dan individu yang tidak berkelayakan ditempatkan di jawatan tertinggi.

    Vellayan dan Reza berkata mereka berharap pentadbiran di zoo itu kembali telus seperti pada zaman awal penubuhannya

    Vellayan berkata, zoo itu perlu lebih terbuka berhubung kedudukan kewangan dan koleksi haiwannya untuk memberi keyakinan kepada orang awam bahawa tiada apa-apa yang disembunyikan.

    Reza berkata, butiran kewangan dan inventori haiwan yang terperinci perlu dimasukkan semula ke dalam laporan tahunan.

    Salinan laporan tahunan yang dilihat FMT mengandungi perincian sedemikian seawal 1970 yang tidak ditemui dalam laporan terbaru.

    Pegawai Zoo Negara enggan mengulas dakwaan 2 veterinar itu atau menjawab soalan mengenai laporan kewangan.

    https://bit.ly/3nKFhPT

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here