SEKUMPULAN penagih dadah berlonggok di bawah jambatan di Kabul.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

DI BAWAH sebuah jambatan di bandar raya Kabul bergelumang dengan sampah sarap dan kotoran kelihatan sekumpulan lelaki gelandangan penagih dadah berlonggok.

Tempat macam itu bukan sahaja tidak sesuai untuk manusia malahan anjing pun tidak suka, kata seorang daripada lelaki di situ apabila ditanya tentang keadaan tersebut.

Anehnya lelaki yang menjelaskan perkara itu sendiri adalah merupakan seorang daripada anggota komuniti penagih dadah heroin dan methamphetamine atau kristal sejak lebih lima tahun lalu.

Dia antara contoh bagaimana penagihan heroin terus menapak di Kabul dan menonjol sebagai masalah utama dalam sebuah negara Islam yang asyik berperang sesama sendiri.

Hari ini masalah heroin telah bertukar kepada senario yang lebih serius apabila puluhan ribu penagih bertukar kepada dadah methamphetamine yang lebih murah untuk diperoleh.

Lelaki yang bernama Khudadad itu memberitahu wartawan bahawa sebelum ini methamphetamine sukar diperoleh, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin ramai penagih bertukar kepada bahan tersebut.

Pada Selasa lalu satu laporan memberi amaran bahawa Afghanistan kini telah menjadi pengeluar methamphetamine terbesar di dunia.

Keadaan ini memburukkan lagi imej Afghanistan yang sememangnya terkenal sebagai sebuah negara pengeluar candu yang diasaskan ribuan hektar ladang popi.

Laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Dadah dan Penagihan Dadah Eropah (EMCDDA) merujuk kepada ‘kristal meth’ sebagai industri utama di wilayah tersebut.

Potensi methamphetamine menonjol sebagai dadah nombor satu di Afghanistan adalah kerana sindiket dadah mendapati bahawa sejenis tanaman yang bersepah tumbuh segar secara liar di kawasan itu boleh digunakan sebagai komponen utama dalam penghasilan dadah ‘meth: ephedrine.’

Batang daripada pokok ephedra yang digunakan bagi penghasilan dadah meth.

Pokok yang dikenal pasti sebagai ‘ephedra’ itu tumbuh liar di kawasan pergunungan dan bakal menggantikan industri dadah heroin, kata David Mansfield yang merupakan seorang pakar tentang industri dadah di Afghanistan.

Mansfield berkata sindiket dadah yang sebelum ini mengeluarkan bahan ephedrine daripada dadah diimport sekarang mampu menggunakan bahan yang lebih murah ini sebagai alternatif hanya dengan menggunakan proses ringkas.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here