Oleh KHADIJAH IBRAHIM
APABILA bergelar selebriti, baik daripada program hiburan atau agama, individu berkenaan pasti tak lepas menjadi perhatian ramai.
Setiap pergerakan mereka ada saja mata yang memandang, jika silap langkah buruk padahnya.
Jika sebelum ini kecoh gambar selebriti lelaki termasuk peserta program Islamik yang dikatakan berbogel atau beraksi lucah.
Namun semua cerita kontroversi itu akan sepi begitu saja tapi bagi selebriti yang berada di pihak benar mereka akan terus membuat laporan polis apabila difitnah begitu, bukan sekadar cakap kosong.
Ketika ini seorang lagi selebriti yang terpalit dengan cerita sensasi ialah Da’i Syed yang merupakan pendakwah bebas dan juga seorang penyanyi.
Beliau didakwa merogol seorang gadis. Berat betul tuduhan yang dilemparkan kepada Da’i Syed atau nama penuhnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail.

Pemilik akaun Twitter, @ainunnnajwa mendakwa rakannya mengalami trauma selepas menjadi mangsa rogol Syed. Kesal dengan tuduhan berkenaan, Syed, 25, membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sekitar jam 5.45 petang (24 November).
Jelas Syed, laporan polis itu dibuat untuk membersihkan nama baiknya, selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas itu.
“Tuduhan itu terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya. Saya terkejut dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi selama menjadi pendakwah.
“Saya memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut kerana dakwaan itu mencemarkan nama baik saya,” katanya.
Beliau berharap dengan laporan polis berkenaan, segala dakwaan terhadap dirinya dapat diselesaikan dengan segera kerana apa yang diperkatakan oleh pemilik akaun berkenaan adalah satu fitnah.
“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ia mencalarkan maruah saya dan keluarga. Saya anggap kontroversi ini sebagai dugaan dalam saya menjalankan tanggungjawab untuk menyalurkan mesej Islam,” ujarnya.
–BebasNews
Khadijah Ibrahim Penganalisis BebasNews. Beliau wartawan hiburan prolifik yang pernah menulis untuk Utusan Malaysia, Pancaindera, dan Mingguan Malaysia.