Oleh Hashim Yaacob & Adi Sukma

SEORANG tukang ramal pada zaman dahulu telah melaung “Beware of the Ides of March” kepada Emperor Rom Julius Caesar.

Ia membawa bermaksud untuk memberi amaran supaya Emperor itu tidak menghadiri mesyuarat Senate pada hari itu kerana ada kemungkinan dia dibunuh di situ.

Tetapi malangnya Emperor itu tidak melayannya dan terus ke Senate.

Pada hari itu juga, Emperor itu telah ditikam bertubi-tubi oleh beberapa orang ahli Senate sehingga mati ketika Emperor itu memasuki Senate.

Kami ingin memberi amaran “The Ides of March” kepada seluruh rakyat negara ini supaya tidak mengadakan pilihan raya pada tahun ini atau tahun depan sekiranya kita masih berada di dalam situasi pandemik Covid-19.

Kami yakin bahawa sekiranya pilihan raya diadakan sewaktu pandemik maka malapetaka yang tersangat besar akan menimpa rakyat negara ini disebabkan oleh jangkitan Covid-19.

Kenapa begitu? Kerana manusia tidak akan mengikut SOP bagi menghalang jangkitan Covid-19.

Manusia akan bersesak-sesak untuk mendengar ceramah politik, membabitkan diri dalam mengempen, dan sewaktu mengundi.

Bukankah kita telah belajar melalui pengalaman pilihan raya di Sabah yang membawa musibah jangkitan Covid-19.

Kalau ahli Parlimen mengundi untuk tidak meluluskan bajet maka kerajaan yang ada sekarang akan tumbang. Akibatnya adalah kerajaan yang baru akan mengambil alih, atau satu pilihan raya baru akan diadakan dalam masa tempoh yang terdekat.

Satu pilihan lagi ialah SPB YDP Agong boleh di atas kebijaksanaan baginda menitahkan supaya tidak diadakan pilihan raya segera, kalau difikirkan itu adalah jalan terbaik di dalam menghadapi bahaya Covid-19.

Oleh itu kami sukalah memberi nasihat supaya ahli-ahli Parlimen meluluskan bajet yang akan dibentangkan sekejap lagi demi untuk keselamatan kita semua.

Terimalah hakikat bahawa kita akan dilanda wabak Covid-19 dengan tersangat teruk, tidak akan terfikir kita betapa besarnya malapetaka yang akan menimpa sekiranya kita berkumpul dan melanggar SOP sewaktu berceramah, berkempen dan mengundi.

Wakil-wakil rakyat sering menyatakan bahawa mereka mengutamakan keselamatan rakyat yang mereka mewakili.

Maka pada waktu krisis ini, utamakanlah kesejahteraan rakyat dan negara.

Luluskanlah bajet kali ini dan bersiap siagalah untuk pilihan raya pada tahun 2023 nanti.

Siapa yang akan menang pada pilihan raya itu nanti, bolehlah tadbir negara kita ini dengan baik.

BEWARE THE IDES OF MARCH!

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here