Di mana Kamala  Harris tinggal?

0
818

Oleh Ahmad Abd Hamid

RAMAI tahu Rumah Putih atau White House ialah kediaman rasmi dan tempat bekerja Presiden Amerika sejak dua abad lalu. Joe Biden yang menewaskan Trump pada pilhan raya presiden 2020 dan keluarga akan memasuki Rumah Putih pada 20 Januari 2021 selepas majlis angkat sumpah.

Tetapi mungkin ramai ingin tahu di manakah naib presiden, Kamala Harris, akan tinggal? Naib presiden juga mempunyai kediaman rasmi. Cuma ia mungkin kurang diketahui ramai  seperti terkenalnya Rumah Putih.

Kediaman rasmi naib presiden terletak di dalam kawasan US Naval Observatory (Balai Peninjau Tentera Laut Amerika) dan dikenali dengan alamat Nombor 1 Observatory Circle, hanya beberapa kilometer dari Rumah Putih. Di sini jugalah Kamala Harris dan keluarga akan tinggal.

Rumah banglo berdinding batu warna putih ini terletak di atas kawasan seluas 4.9 hektar. Ia dibina pada 1893 sebagai kediaman penguasa balai peninjau berkenaan. Seterusnya ia   menjadi tempat kediaman Ketua Operasi Tentera Laut pada 1924.

Kira-kira 50 tahun kemudian, banglo tersebut menjadi kediaman rasmi naib presiden Amerika apabila Walter Mondale dan keluarganya memasuki banglo berkenaan.

Walter Mondale yang menjadi calon Demokrat dalam pilihan raya presiden 1984 tewas kepada Ronald Reagan yang menang besar.

Reagan menang di semua negeri kecuali negeri kelahiran Mondale, Minnesota dan District of Columbia. Kemenangan di Minnesota pun hanya dengan kelebihan sangat tipis iaitu 0.18 peratus. Reagan memperoleh 525 undi elektoral daripada 538 jumlah undi.

Joe Biden yang menang pilihan raya presiden 2020 ketika menjadi naib presiden di bawah Barrack Obama, juga tinggal di banglo Nombor 1 Observatory Circle bersama keluarga dari 2008 hingga 2016.

Sebelum Mondale, naib presiden Amerika dan keluarga tinggal di rumah sendiri. Namun apabila kos mendapatkan rumah peribadi semakin meningkat, Kongres bersetuju menjadikan banglo berkenaan sebagai kediaman rasmi naib presiden.

Apabila Kamala Harris, yang mencatat sejarah sebagai naib presiden wanita pertama,  memasuki banglo berkenaan, dia juga mencatat sejarah sebagai naib presiden pertama bukan berkulit putih tinggal di kediaman berkenaan bersama suami, Douglas Emhoff dan keluarga.

Di tingkat bawah banglo tiga tingkat itu ialah dewan resepsi, bilik makan, ruang tamu, ruang rehat dan beberapa bilik air. Tingkat dua pula mempunyai dua bilik tidur dan juga bilik membaca.

Tingkat tiga pada asalnya dibina sebagai tempat kediaman kaki tangan dan stor. Namun ia telah diubah suai menjadi empat bilik tidur berasingan untuk anak-anak naib presiden. Dapur, bilik basuh dan stor pula terletak di tingkat bawah tanah.  

Setiap naib presiden yang tinggal di Nombor 1 Observatory Circle mempunyai minat dan sentuhan masing-masing. Misalnya George HW Bush, naib presiden di bawah Reagan yang kemudian menjadi presiden, membina horseshoe pit (sejenis permainan padang melibatkan dua orang atau dua pasukan dua orang).

Ketika Dan Quayle, naib presiden di bawah George Bush tinggal di situ dari Januari 1989 hingga Januari 1993, dia membina kolam renang.

Biden sendiri ketika tinggal di situ membina Family Heritage Garden atau Taman Warisan Keluarga  dengan meletakkan hiasan batu ubin sebagai melambangkan naib-naib presiden yang lalu, juga haiwan peliharaan mereka.

Banglo Nombor 1 Observatory Circle sebagai kediaman rasmi naib presiden mungkin tidak sehebat atau sepopular Rumah Putih. Tetapi ada penghuninya hebat dan akhirnya menjejakkan kaki ke Rumah Putih.

-BebasNew

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here