Tulisan Jawi adalah budaya bukan agama

0
740
Eh Pon sedang menulis tulisan Jawi.

Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LUMPUR — Tulisan jawi adalah budaya masyarakat Melayu di negara ini bukannya menggambarkan kepercayaan agama seseorang.

Salah anggapan tersebut seharusnya diperbetulkan kerana ia mampu menjejaskan perkembangan tulisan tersebut dalam kalangan masyarakat.

Menurut pencinta tulisan Jawi berbangsa Siam dari Tumpat Kelantan, Eh Pon Awang Din,60, beliau belajar tulisan Jawi di sekolah rendah dengan guru berbangsa Cina dan itu adalah bukti tulisan tersebut bukan milik eksklusif satu-satu bangsa mahupun agama.

“Semasa belajar di sekolah rendah bermula tahun 1967 hingga 1972 saya masih menulis di dalam tulian Jawi. Di sekolah menengah pun saya masih menulis dengan tulisan Jawi.

Eh Pon menunjukkan tulisan Jawi yang berbunyi Mari Belajar Tulisan Jawi.

“Saya hairan mengapa ada cadangan untuk pelajar sekolah menulis khat tiga muka, ditentang oleh pihak tertentu. Tulisan Jawi atau khat adalah budaya masyarakat Melayu bukannya proses Islamisasi penganut agama lain,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Eh Pon yang beragama Buddha berkata, Kerajaan Malaysia harus bertegas dengan menjadikan tulisan Jawi sebagai sebahagian proses pendidikan bagi memastikan tulisan indah tersebut terus terpelihara.

Katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tulisan Jawi adalah warisan kita sebagai rakyat Malaysia, sewajarnya pihak berkuasa menetapkan dasar agar tulisan Jawi dipelajari dan diperluaskan penggunaannya.

“Jika kita mahu memperluaskan penggunaan tulisan Jawi sepatutnya ia diajar di peringkat sekolah secara wajib. Wewenang politik yang ada harus digunakan untuk menjayakan hasrat tersebut.

“Apa guna kita menggalakkan tulisan Jawi di peringkat ranting dan cabang tetapi peringkat akar umbi tidak diperkasakan. Jadikan tulisan Jawi sebahagian Dasar Pendidikan Negara,”katanya.

Eh Pon yang mampu berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Siam, Bahasa Inggeris dan beberapa dialek Bahasa Cina seperti Hokkien berkata, antara pengalaman manis beliau sebagai pencinta tulisan Jawi apabila dipanggil pihak berkuasa budaya sebagai panel program membicarakan tulisan tersebut.

Namun pengalaman paling manis katanya, semasa zaman persekolahan beliau menghantar beratus kad raya kepada guru dan rakan-rakan dengan menggunakan tulisan khat.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here