Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan kejayaan membanggakan apabila melonjak ke tangga 108 dalam QS Asia University Ranking tahun 2021.

Naib Canselor UiTM. Prof. Emiritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, kedudukan institusi tersebut dalam ranking itu telah naik 11 tangga dari kedudukan 119 pada tahun lalu.

“Pencapaian tersebut yang diumumkan QS Asia University Ranking 2021 pada hari ini menunjukkan peningkatan lima tahun berturut-turut sebanyak 73 tangga dari kedudukan 187 pada tahun 2017.

“Prestasi tahun ini juga telah menempatkan UiTM pada kedudukan 17 peratus terbaik Asia, dengan pertambahan sebanyak 93 universiti yang dinilai di seluruh Asia serta pertambahan sebanyak enam universiti dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd.Azraai berkata, QS Asia University Ranking menilai universiti berdasarkan 11 petunjuk utama yang antaranya adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi penerbitan, nisbah pelajar kepada staf akademik, dan jaringan penyelidikan antarabangsa.

Katanya lagi, beliau menzahirkan kesyukuran terhadap pencapaian yang membanggakan itu di saat dunia bergelut dengan situasi pandemik Covid-19.

“Pencapaian UiTM ini sudah tentu menjadi kebanggaan seluruh warga universiti yang telah banyak memberikan sokongan dan kerjasama bersepadu melalui pelbagai inisiatif yang agresif dan konstruktif,” katanya.

Bagi memastikan keberhasilan kecemerlangan yang berterusan, UiTM telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif untuk memastikan petunjuk-petunjuk yang berkaitan tidak terkesan dengan situasi pandemik semasa.

Beliau menambah, institusi tersebut telah melaksanakan inisiatif jaringan antarabangsa melalui penganjuran pelbagai acara dan program secara dalam talian serta menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh badan antarabangsa.

QS Asia Ranking UiTM

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here