Bakat, skil Maradona ‘very rare’ – Reduan Abdullah

0
631
REDUAN Abdullah, legenda bola sepak Selangor dan Malaysia kini Pengarah Teknikal UiTM FC.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

BAKAT dan kemahiran mendiang Diego Maradona sangat sukar ditemukan lagi pada pemain generasi sekarang walaupun ramai peminat bola sepak kerap membandingkannya dengan rakan senegara Argentina di Barcelona, Lionel Messi.

Legenda bola sepak negara, Reduan Abdullah berkata, beliau merasai bagaimana ‘penangan’ sebenar pemenang Piala Dunia 1986 di Mexico itu dalam perlawanan persahabatan antara Jemputan Selangor dan kelab Boca Juniors di depan hampir 30,000 penonton.

“Tanggal 12 Januari 1982 dalam perlawanan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu, saya ditugaskan mengawal gerak-gerinya di bahagian tengah tetapi dia memang sukar. Sampai kena ada dua atau tiga pemain untuk kekang Maradona.

“Gaya permainannya memang menarik dengan kemahiran individu terutama gelecekan bola. Sukar kita nak cari pemain sekarang yang berbakat sebegitu,” kata bekas perantara Selangor dan Malaysia dari 1973 hingga 1985 ini.

Reduan ialah antara yang membarisi kesebelasan utama Jemputan Selangor menentang Boca Juniors, juara Liga Metropolitano Argentina 1981 pimpinan Maradona yang turut menjaringkan gol kemenangan 2-1.

Penyerang undangan dari Singapura, Fandi Ahmad membuka tirai jaringan Jemputan Selangor seawal minit keempat namun disamakan oleh Carlos Cordoba pada minit ke-19 manakala gol kedua pelawat dijaringkan minit ke-60.

Maradona meninggal dunia di kediamannya di pinggir ibu kota Buenos Aires pada usia 60 tahun akibat serangan jantung, semalam, dua minggu selepas menjalani pembedahan otak di sebuah hospital.

REDUAN (kiri) cuba mengekang gerak-geri Diego Maradona dalam perlawanan persahabatan Jemputan Selangor dan Boca Juniors di Stadium Merdeka pada 12 Januari 1982.

“Maradona ketika perlawanan persahabatan itu baru berusia 22 tahun. Beberapa bulan kemudian dia main untuk Argentina dalam Piala Dunia 1982 di Sepanyol dan empat tahun selepasnya, mencapai era kemuncak sebagai pemenangnya di Mexico.

“Namun menjelang ketibaannya di Malaysia, kami memang banyak terbaca dan diuar-uarkan dengan kisah kehebatannya bersama Argentina yang jadi juara Kejohanan Belia Dunia 1979 di Jepun.

“Satu gaya permainan yang asing daripada sebuah kelab hebat Argentina ini namun satu pengalaman yang amat berharga dan sukar dilupakan menentang pasukan dari Amerika Selatan yang dikenali kerana mengutamakan kemahiran individu,” kata Reduan, 68.

Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, penyerang terbilang negara, mengetuai Jemputan Selangor yang turut diperkuatkan penyerang Thailand, Piyapong Pue-on manakala mendiang Datuk R. Arumugam mengawal gawang sambil dibantu Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun yang kembali ke Melaka ketika itu.

Lain-lain pemain tuan rumah ialah Wong Hung Nung, Jamaluddin Norbit, Zainal Abidin Hassan, K. Gunasakaran dan Abdul Muin Rahim.

Selangor beberapa bulan kemudian menjuarai Piala Malaysia 1982 dengan menewaskan Terengganu 1-0 hasil jaringan Muin di stadium sama.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here