26 November 2020, usianya genap 81 tahun

0
1304
Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama isterinya Tun Jeanne Abdullah. -- Gambar ihsan FB Abdullah Badawi

Oleh Noraini Tahir

NEGARAWAN bernama Abdullah bin Ahmad Badawi ini adalah Perdana Menteri Malaysia Kelima yang memegang tampuk pemerintahan negara pada Oktober 2003 hingga April 2009.

Sejak kebelakangan ini, Tun Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, lebih banyak mengisi masa di rumahnya di Kuala Lumpur bersama keluarga.

Ketika penulis keluar masuk ke rumah Pak Lah untuk tugasan penerbitan dokumentari “Legasi Negarawan – Tun Abdullah Ahmad Badawi” bersama dengan kru penerbitan Primeworks Studios yang diketuai Muhamamd Amin Yusof, kami sedikitpun tidak merasa kekok apabila menemu bual atau bersembang dengan Pak Lah.

Bapa kepada dua anak dan tujuh cucu ini, melayan kami kru penerbitan bagaikan tetamu istimewanya. Itulah Pak Lah. Insan yang amat menyantuni dan menghormati tetamu.

Sifat-sifat terpuji dengan keperibadian tinggi diterapkan ketika kepimpinan beliau.

Tidak hairanlah jika Pak Lah juga sinonim dengan ungkapan bapa pembangunan modal insan.

Agensi-agensi dan institusi-institusi pengajian tinggi turut menganugerahkan Pak Lah sebagai Bapa Pembanguan Modal Insan. Antaranya Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) memberi Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pembangunan Modal Insan sempena Istiadat Konvokesyen ke-72 pada tahun 2010.

Memetik ucapan Pak Lah selepas menerima anugerah itu, beliau berkata kebangkitan orang Melayu dan Bumiputera dikuatkan dengan pembangunan modal insan yang bermutu.

Tidak ada pilihan lain untuk menjadikan orang Melayu dan Bumiputera berjaya dan dihormati. Tanpa kekuatan modal insan dan moral yang tinggi, tidak ada sebarang reform atau perubahan yang dapat dijayakan.

UiTM, tegasnya, adalah gedung menerbitkan modal insan Bumiputera yang cukup ramai dan hari ini, menampakkan kejayaan dalam bidang pengurusan dan profesional negara.

Kemunculan graduan UiTM ini bersama dengan golongan profesional dan pengurusan Bumiputera daripada universiti lain sama ada dari dalam mahupun luar negara, meramaikan golongan menengah Bumiputera di negara ini.

Turut menghargai sumbangan Pak Lah dalam membina modal insan ialah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Institut itu pada tahun 2018 memberikan Anugerah Sepanjang Hayat Bapa Pembangunan Modal Insan bagi menghargai Perdana Menteri Kelima itu atas keprihatinan beliau terhadap pendidikan, modal insan dan infrastruktur insaniah negara.

Menyingkap kata-kata menantu Pak Lah, Khairi Jamaludin yang kini Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, ketika menjadi Perdana Menteri, Pak Lah melakukan banyak usaha bagi pembangunan universiti dan kolej swasta, menaik taraf sekolah-sekolah serta institut-institut latihan perguruan kerana beliau percaya pemupukan generasi muda dengan kemahiran, latihan dan nilai murni akan membolehkan mereka untuk berjaya dalam landskap yang semakin kompetitif.

Bagi Pak Lah, modal insan bukan sekadar dalam bentuk pembelajaran sahaja. Ia merangkumi nilai-nilai, kepercayaan, integriti, institusi dan kesaksamaan.

Tanpa nilai-nilai murni, infrastruktur moden atau kelas pertama akan kekal lompang.

Keyakinan beliau terhadap Islam menjadi asas kepada nilai-nilai berkenaan.

Pak Lah berusaha menjelaskannya mengikut kaedah sejagat menerusi Islam Hadhari. Tiada individu secara sendirian boleh meneruskannya untuk selama-lamanya dan setiap perkara perlu diinstitusikan untuk generasi masa depan.

Menurut Khairi, Pak Lah sering memberitahunya bahawa beliau mahu semua rakyat Malaysia khususnya belia di setiap kawasan dapat menikmati akses kepada pendidikan berkualiti.

Maka Pak Lah memulakan pembangunan koridor-koridor ekonomi di selatan, utara, pantai timur, Sabah dan Sarawak kerana beliau percaya pembangunan bertumpu di pusat bandar seperti Lembah Klang, adalah tidak adil.

Mengikut Laporan Modal Insan 2017 oleh Forum Ekonomi Dunia, penekanan terhadap pembangunan modal insan melayakkan Malaysia menduduki tempat kedua di Asia Tenggara dan ke-33 di dunia.

Terima kasih Pak Lah dan Selamat Hari Lahir yang ke-81.

Penulis ialah Perunding Media, Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here