Syabas Kementerian Pengajian Tinggi

Oleh Kepten Dato Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob dan Adi Sukma.

MENGIKUT uniRank database 2020, terdapat sebanyak 5984 universiti yang diiktiraf di negara-negara Asia. Ada yang besar ada yang kecil, dan ada yang komprehensif dan ada juga yang tidak.

Setiap universiti mempunyai falsafah dan matlamatnya sendiri.

Universiti yang baik ialah yang dapat memenuhi hasrat dan keperluan rakyat negaranya sendiri.

Kami yakin bahawa semua universiti dalam negara kita ini, sama ada awam atau swasta, telah banyak berperanan mencerdikkan rakyat dan menjadikan mereka rakyat yang berguna.

Tidak mengapa kalau pun universiti baru atau lama, kecil atau besar.

Yang utama ialah setelah mendapat ijazah, setiap graduan telah dibekalkan dengan ilmu.

Samada dia akan berjaya atau tidak dalam hidupnya di kemudian hari akan bergantung pada sikapnya.

Dia mestilah pandai menggunakan ilmu yang ada padanya, di samping mempunyai iltizam yang kuat untuk merebut peluang-peluang yang ada.

Graduan daripada universiti apa pun sepatutnya berani dan bijak menghadapi cabaran. Tidak kiralah daripada universiti mana dia telah bergraduat. Keyakinan pada diri sendiri mesti ada untuk berjaya.

Hari ini rakyat yang waras akan berbangga dengan pencapaian universiti-universiti kita di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Mengikt QS World University Ranking, 10 buah universiti kita telah berjaya berada dalam kalangan 110 buah universiti terbaik dari jumlah 5984 buah universiti di Asia pada tahun ini!

Pencapaian ini memberi petanda bahawa ada kekuatan dan kewibawaan pada sistem Pendidikan Tinggi negara kita. Tidak syak lagi.

Kami tahu penarafan sesebuah universiti bukanlah segala-galanya.

Tetapi kami juga tahu bahawa untuk berjaya menduduki tangga atas dalam penarafan adalah petanda yang jelas bahawa universiti itu telah mencapai tahap cemerlang mengikut kriteria yang telah digunakan. Bukankah ini satu kekuatan?

Kami sedia maklum terdapat beberapa jenis agensi penarafan universiti yang menggunakan kriteria penarafan yang berbeza daripada satu dengan yang lain. Hal ini tidak mengapa, kerana bukannya ada satu garis panduan pun pada waktu ini yang wajib diikuti oleh setiap agensi untuk dipakai untuk penarafan. Sudah mencukupi asalkan munasabah dan boleh diterima akal kriteria penarafan yang dipakai itu.

Penarafan yang dibuat oleh QS adalah sesuai untuk menaraf universiti.

Kami teruja mendengar Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak menyatakan bahawa KPT akan mendanakan usaha penyelidikan, memarakkan kolaborasi dengan institusi pengajian dan agensi yang terkemuka, menggalakkan kemasukan pelajar luar negara, dan membantu institusi swasta untuk memperbaiki pencapaian.

Semua ini adalah perancangan usaha yang terpuji.

Kami mengucapkan Tahniah kepada semua universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here