Top Glove sahkan asrama pekerja Ipoh diserbu, ikrar baiki keadaan

0
581

TOP GLOVE mengesahkan yang asrama pekerja di Ipoh, Perak diserbu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) semalam.

Jabatan itu dilaporkan mendapati asrama itu dalam keadaan kotor dan sesak, melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat sarung tangan getah itu berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan dalam usaha menambah baik tempat tinggal pekerja.

“Sebahagian daripada usaha kami untuk pekerja di Ipoh adalah dengan menyewa lapan unit asrama lot kedai. Enam daripadanya telah diduduki manakala dua lagi sedang disediakan.

“Langkah memindahkan pekerja sedang dibuat dan dijangka selesai pada akhir November ini,” katanya.

Katanya lagi, Top Glove akan terus mendapatkan lebih banyak tempat untuk kediaman pekerjanya.

“Kami memahami yang tenaga kerja kami adalah aset terbesar syarikat dan kami komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa terlibat untuk membuat penambahbaikan wajar ke arah memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja kami,” katanya lagi.

Kerajaan mula menguatkuasakan akta itu, yang baru dipinda pada Rabu lalu untuk mewajibkan majikan menjamin standard minimum untuk tempat tinggal pekerja asing.

Keadaan pekerja Top Glove, yang merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, menjadi perhatian setelah asrama pekerja di Klang menjadi kluster Covid-19 terbesar setakat ini.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, kluster Teratai telah merekodkan 4,093 kes setakat semalam. Seorang pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini menyifatkan tempat tinggal yang diberikan kepada pekerja Top Glove sebagai “teruk”.

Sebagai respons, syarikat itu berkata telah membelanjakan puluhan juta ringgit untuk menambahbaik tempat tinggal pekerja dan menjaga mereka dengan baik.

Sebelum ini, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) mengenakan larangan eksport daripada syarikat itu atas faktor keadaan tempat tinggal pekerja.

https://bit.ly/3o5euy9
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here