Lima filem arahan Mamat Khalid disatukan dalam drama Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEWAKTU Mamat Khalid mengarah filem Zombi Kampung Pisang, ada yang berpendapat beliau sengaja menggunakan nama Kampung Pisang sebagai sebahagian daripada lelucon untuk filem komedi seram itu.

Namun sebagai anak kelahiran Ipoh, Perak, jati diri Mamat Khalid atau Mohamad Mohd. Khalid amat kuat kerana kebanyakan filem arahannya pasti menjalani penggambaran di negeri kelahirannya itu.

Begitu jugalah dengan Kampung Pisang, Batu Gajah, Perak yang dijadikan latar untuk filem Zombi Kampung Pisang yang diterbitkan pada 2007.

Mamat Khalid mengangkat nama Kampung Pisang dalam filem arahannya.

Pada tahun ini sekali lagi Mamat terus mempopularkan nama Kampung Pisang itu menerusi drama Kampong Pisang Bersiri-Siri yang bakal ditayangkan di Astro Citra, saluran 108 (HD) dan 128 (SD) mulai 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9 malam.

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 itu menggabungkan lima buah filem di bawah francais Kampung Pisang yang telah merekodkan kejayaan membanggakan iaitu, Hantu Kak Limah (RM38.6 juta, 2018), Zombie Kilang Biskut (RM1.5 juta, 2014), Husin, Mon & Jin Pakai Toncit’ (RM6.4 juta, 2013), Hantu Kak Limah Balik Rumah (RM8 juta, 2010) dan Zombi Kampung Pisang (RM2.4 juta, 2007).

Kesemua filem arahannya itu meraih kutipan pecah panggung dengan jumlah keseluruhan RM56.9 juta. Meskipun francais ini sudah bertapak lebih sedekad dalam industri, ungkapan dialog, keunikan setiap karakter dan babak-babak menarik yang ditampilkan dilihat sentiasa malar segar dalam ingatan dan kekal relevan sehingga hari ini, bahkan masih boleh diterima serta dekat di hati anak muda sekarang.

Kata Mamat, sejujurnya, francais Kampung Pisang amat isitmewa di hatinya. Beliau percaya ada sebahagian penonton yang turut membesar dengan filem-filem ini.

Pihak Astro membawa drama premium daripada francais filem komedi Kampung Pisang dalam bentuk rantaian siri.

“Sejak tahun 2007 karya ini diperkenal, saya ingin menzahirkan satu kelainan khususnya kepada mereka yang setia menyokong, justeru saya gabungkan hampir kesemua watak filem ke dalam siri ini.

“Selain dari itu, penonton juga akan disajikan dengan jalan cerita, elemen komedi, hantu dan cameo (penampilan istimewa) yang berbeza di setiap episod.

“Manakala, barisan pelakon bukan sahaja dalam kalangan pelakon tetapi turut membintangi adalah barisan pengarah hebat tanah air seperti Mat London, Nasir Jani, Ellie Suriaty, Pekin serta kartunis Imuda dan pelukis komik Ujang, Soya,” jelas Mamat.

Ujarnya, beliau amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan mereka dan para pelakon lain. Baginya, kehadiran mereka tidak sahaja memberi input pada karya tersebut, malah dedikasi dan komitmen tinggi yang diberikan sepanjang penggambaran harus diberi pujian.

Sebagaimana filem drama ini juga pasti menghiburkan.

“Kampong Pisang Bersiri-Siri juga dianggap sebagai satu cabaran baharu buat saya kerana ini kali pertama saya mengarahkan drama bersiri, namun begitu perlu mengekalkan kualiti dan ‘end result’ setanding filem.

“Untuk itu, teknik teknologi pengimejan telah dilakukan oleh tenaga pakar di Australia dan proses adunan audio dan bunyi pula dilakukan di Thailand. Saya harap penonton berpuas hati dan sedikit sebanyak mampu membawa mereka keluar dari tekanan seketika khususnya di kala dunia dilanda pandemik Covid-19 ini.

“Tidak salah kiranya jika kita meluangkan sedikit masa untuk berhibur bersama keluarga dan yang tersayang dengan menonton karya Kampung Pisang.” ujar Mamat lagi.

Dalam setiap episod akan ada penampilan istimewa daripada pelbagai selebriti.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata Kampong Pisang Bersiri-Siri merupakan konten segar, kualiti terbaik dan membariskan bakat-bakat kreatif di depan dan di belakang lensa kamera.

Katanya, Astro memahami cita rasa dan kehendak para penonton yang menginginkan konten berkualiti dan lebih nilai hiburan, Astro buat julung kalinya membawakan drama premium daripada francais filem komedi nombor satu Malaysia, Kampung Pisang, dalam bentuk rantaian siri namun memiliki kualiti setanding karya filem.

“Secara tidak langsung, penonton dapat berhibur lebih lama sepanjang 12 minggu berturut-turut, menikmati lebih drama, lebih seram, lebih kelakar dan kemunculan lebih ramai pelakon hebat dan popular.

“Jika sebelum ini peminat universe Kampung Pisang harus menunggu setiap dua tahun sekali, tetapi kini mereka dapat menonton filem setiap minggu dan kami percaya ia dapat memberi kepuasan tontonan buat pelanggan Astro.

“Dengan hadirnya Kampong Pisang Bersiri-Siri, diharap ia mampu memberi keterujaan kepada penonton yang merindui kekecohan dan gelagat penduduk Kampung Pisang. Kehebatan sutradara di sebalik francais ini, saudara Mamat Khalid semestinya wajar diraikan,” kata Raja Jastina.

Walaupun dalam bentuk drama tapi kualitinya setanding filem.

Tambahnya, sempena itu, Astro Citra bakal menyiarkan sepuluh karya hebat Mamat menerusi slot Istimewa Mamat Khalid pada setiap Isnin sehingga Jumaat, pukul 9 malam bermula 23 November lalu sepanjang dua minggu.

Penonton juga boleh mengakses filem-filem arahan Mamat di platform On Demand bagi mengimbau kembali watak dan adegan menarik.

“Bukan itu sahaja, Astro turut menjalankan rangkaian pemasaran secara menyeluruh bagi kempen drama premium ini merentasi semua platform Astro, seperti radio, televisyen dan digital serta meliputi pelanggan NJOI.

“Sejak kami tampilkan teaser atau klip video ringkas berkaitan Kampung Pisang di platform digital, ia telah menerima respon positif dan mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton. Justeru, jangan lupa temujanji anda bersama kami mulai 7 Disember ini,” katanya.

Bagi mereka yang tidak pernah mengikuti francais ini, mereka masih boleh untuk turut sama berhibur dengan kesemua siri kerana ia menampilkan jalan penceritaan yang baharu.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bakal membawakan kisah penduduk Kampung Pisang yang dilanda misteri dan masalah. Setiap minggu ada sahaja yang datang menggangu penduduk kampung dan yang menghairankan, semuanya berbeza-beza seperti toyol, hantu rempit, serigala jadian, hantu sungai, orang minyak, zombi, makhluk asing, pocong dan paling unik hantu Kak Limah.

Huru-hara jadinya penduduk kampung dan mereka akan bergandingan untuk mengharmonikan semula kampung kesayangan mereka.

Ikuti berita mingguan Kampong Pisang Bersiri-Siri secara santai, eksklusif di Gempak TV pada setiap Rabu, pukul 11 malam di saluran Astro Ria.

Episod pertama Kampong Pisang Bersiri-Siri akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada pukul 9 malam, 7 Disember ini.

Manakala, untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium komedi seram ini pada setiap Isnin, 9 malam, eksklusif di Astro Citra.

Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here