Oleh: Md. Syahikar / Syahidi Bakar

 

KUALA LUMPUR – UMNO perlu berterima kasih kepada ahlinya yang keluar parti kerana tindakan mereka membantu proses pembersihannya daripada anasir jahat yang selama ini telah membelenggu perjuangannya.

Keputusan mereka, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor memberi faedah besar kepada parti, temasuklah tidak perlu menanggung liabiliti ahli yang mengkhianati serta  menggugat kestabilan selama ini.

Beliau berkata, sekalipun parti bakal berdepan kemungkinan terburuk iaitu kehilangan seramai 37 Ahli Parlimen (MP) UMNO dan menyaksikan hanya tinggal 10 orang MP sahaja mewakili parti dianggotai kira-kira 3.5 juta ahli di seluruh Malaysia.

“Sekalipun UMNO terpaksa bedepan kemungkinan terburuk semenjak dari penubuhan, namun kita (parti) perlu berterima kasih kepada mereka yang meninggalkan lima faedah bagi parti untuk dimanfaatkan sebaiknya.

“Selain ketahui pengkhianat, UMNO juga dapat melihat perlakuan buruk mereka seperti didakwa oleh salah seorang dari pengkhianat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ada 36 MP telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong kepemimpinan Tun Dr. Mahathir jika berlakunya undi tak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat,” katanya melalui satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Sebelum ini, UMNO telah menerima tamparan hebat selepas ahlinya di Sabah meninggalkan parti itu apabila Pengerusinya Datuk Hajiji Mohd Noor bersama 13 wakil rakyat beserta 21 ketua Bahagian mengisytihar mereka menjadi ahli politik bebas.

Krisis dalaman parti semakin kronik setelah enam lagi Ahli Parlimennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); selain diikuti Dato Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) turut mengambil tindakan sama.

Mengulas lanjut, Lokman yang juga Pengerusi Pemantau Malaysia Baru berkata, tindakan kumpulan itu turut membuktikan mereka adalah antara ahli UMNO yang menjadi duri dalam daging kerana setelah ditanya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung sebahagian Ahli Parlimen terlibat berikan SD itu, mereka nyatakan hanya menyokong Dr Mahathir sebagai PM kerana tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun ujarnya, apa dilafaz kepada Presiden itu sama sekali tidak benar apabila mereka turut bertindak untuk keluar parti.

“Walaupun saya agak kurang pasti kesemua 37 MP UMNO yang terlibat, tetapi saya yakin sekitar 11 orang MP Umno tidak menandatangani SD iaitu antaranya Ahmad Zahid; Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Nazri Aziz dan Tengku Razaleigh Hamzah,” jelasnya.

Katanya, lebih malang apabila semua MP yang menandatangani SD keluar parti dan meletakkan kesalahan atas  Presiden UMNO dan mendesak agar beliau berundur jika tidak mahu 10 lagi MP turut berbuat demikian.

Menurutnya, setiap ahli UMNO perlu memberi taat setia kepada Presiden UMNO yang telah berikrar berusaha mengukuhkan kedudukan UMNO dan bertegas tiada sebarang kerjasama dengan DAP.

Tambahnya, seorang dari kalangan pengkhianat yang berusaha lobi MP UMNO untuk dipersembah kepada Tun Mahathir iaitu Hamzah Zainudin  telah keluar UMNO kelmarin. Namun  agak menyedihkan bukan saja tidak berasa aib meninggalkan parti, tetapi beliau ada hati mengugut Presiden supaya berundur jika tidak mahu 10 lagi MP turut lompat parti.

“Kepada pemimpin dayus ini, ingin saya pesan, kegagalan kamu jangan  dipindah untuk dipikul Ahmad Zahid. Kegagalan jaga isteri hingga kononya digoda Anwar ialah Hamzah, bukan Zahid; yang guna rakaman perbualan telefon isterinya bersama lelaki yang dikatakan Anwar untuk dapat habuan daripada Daim ialah Hamzah, bukan juga Zahid.

“Hari ini, apabila Anwar makin hampir mengambil alih jawatan sebagai PM yang gelabah tidak menentu hingga sanggup kumpul MP UMNO sokong Mahathir dan mengatur orang desak Presiden berundur adalah Hamzah, bukan Zahid. Jadi, jangan anda fikir kawan-kawan lama tidak mengikuti perkembangan,” katanya sinis.

Kata Lokman, pemergian pemimpin UMNO itu adalah hadiah istimewa untuk akar umbi parti kerana setiap daripada mereka bermasalah malah hanya bimbang didakwa oleh regim Mahathir-DAP.

Sehubungan itu ujarnya, mereka yang masih lagi setia dan tidak pula gentar dengan ugutan masih kekal bersama UMNO kerana tahu mereka berada dipihak benar dan tetap menentang regim Mahathir-DAP walaupun akan berdepan risiko didakwa.

“Perkembangan ini juga akan bawa  lima faedah besar untuk UMNO iaitu, parti tidak lagi perlu menyimpan ahli yang khianat dan berkepentingan diri seterusnya akan fokus menguatkan semula parti; UMNO juga dilandasan tepat menjadi parti bersih yang akan yakinkan rakyat, sementelah segala masalah rasuah dan korup digalas pula oleh PPBM, memudahkan gerak kerja kita sebagai modal menyerang parti lawan itu.

“Senario ini turut bawa isyarat jelas Tun M akan khianati janjinya kepada Datuk Seri Shafie Apdal berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkenaan hasil cukai perlu dipulang kepada Sabah dan persetujuan yang Bersatu tidak memasuki Sabah bagi menghormati Warisan; jika sebelum ini banyak desakan DAP terpaksa ditunai Tun M kerana majoriti 42 MP DAP ke atas 13 MP parti Pribumi, jadi apakah perkembangan ini mampu gembirakan DAP setelah PPBM kini miliki makin banyak kerusi? Pastinya tidak malah DAP sendiri sudah pun mengugut keluar Pakatan Harapan dan tidak mustahil, Parlimen bakal digantung atau mungkin dibubarkan. Segala yang berlaku adalah rahmat Allah sebagai bantuan untuk mereka yang teraniaya,” jelasnya.

Please follow and like us:

Leave a Reply