Hubungan parti dalam PN diperkukuhkan menjelang PRU15 (Teks penuh ucapan dasar Presiden Bersatu)

0
302
fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR — Hubungan dan kerjasama antara parti dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diperkukuhkan lagi terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata adalah penting dalam PRU15 nanti, tidak berlaku pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan PN menentang parti lawan yang lain.

Katanya, untuk tujuan itu program bersama akan diatur di peringkat pusat, negeri dan akar umbi bagi mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat antara parti-parti dalam kerajaan PN.

“ Saya juga ingin mencadangkan supaya pertemuan antara ketua parti yang membentuk kerajaan PN diadakan secara lebih kerap. Mungkin sudah sampai masanya sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam PN, BN, GPS dan GRS diwujudkan.

“ Mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain,” katanya dalam ucapan dasar sewaktu Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2020 hari ini.

Perhimpunan agung itu bermula dengan perhimpunan sayap Srikandi pada sebelah pagi, diikuti Armada dan diakhiri dengan agenda utama perhimpunan.

Perhimpunan itu dijalankan secara maya dari beberapa lokasi yang ditetapkan mengikut negeri dan dijalankan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan negara berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perkara itu penting kerana tidak semua ketua parti berada dalam Kabinet dan menerusi mesyuarat itu, setiap ketua parti boleh menyampaikan pandangan parti masing-masing terutama mengenai dasar kerajaan untuk perhatian Kabinet.

“Saya percaya, dalam pilihan raya umum yang akan datang, PN akan diterima baik oleh rakyat Malaysia. Kajian menunjukkan penerimaan rakyat terhadap PN adalah tinggi. Oleh yang demikian, BERSATU telah membuat keputusan untuk menggunakan logo PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Katanya, penubuhan PN sebagai sebuah gabungan politik baharu adalah satu pencapaian penting dalam sejarah politik negara yang pastinya akan melakar banyak kejayaan dalam waktu yang mendatang.

fotoBERNAMA

Muhyiddin berkata ijtihad BERSATU untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk PN bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibuat, bahkan lebih sukar untuk dilaksanakan tetapi hakikatnya, keputusan itu telah membuka lembaran baharu buat parti itu.

“Kita (PN) sedang menimbang permohonan daripada parti politik lain yang berhasrat untuk menyertai PN dalam masa terdekat yang akan menjadikan PN sebagai sebuah gabungan politik yang berciri nasional serta mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia

“Asasnya mudah. Kita tidak boleh bersendirian. Kita memerlukan rakan dari parti politik lain untuk menghadapi pilihan raya dan membentuk kerajaan. BERSATU jika bertanding secara bersendirian, mungkin boleh menang kerusi, tetapi tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata PRU15 akan diadakan sebaik pandemik COVID-19 berakhir.

“Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat buat keputusan untuk memilih kerajaan yang mereka mahu,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau sedar bahawa rakyat telah mula berasa muak dengan mainan politik yang tidak berkesudahan dan mereka mahukan pemimpin politik membantu rakyat dan bukan selamanya berebut kuasa.

“ Inilah masanya BERSATU bangkit membantu rakyat. Ini peranan saudara dan saudari sekalian di peringkat bahagian dan cawangan, apa lagi di peringkat yang lebih tinggi. Dalam keadaan kehidupan rakyat sedang terjejas akibat pandemik COVID-19, ramai yang sedang menunggu bantuan di luar sana. Ramai yang sedang menghadapi kesusahan.

“ Inilah masanya untuk kita berkhidmat kepada rakyat – amalkan politik khidmat, politik prihatin, politik kerja. Bukan politik berebut kuasa. Sampaikanlah khidmat dan bantuan anda kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya rakyat akan lebih menghargai saudara dan saudari sekalian jika inilah yang saudara dan saudari lakukan,” katanya.

Beliau berkata ketika ini adalah masa untuk mengukuhkan parti dan jentera parti juga mesti dipersiapkan untuk menghadapi pilihan raya.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata beberapa pindaan akan dibuat terhadap perlembagaan parti dalam perhimpunan kali ini.

“ Pindaan ini adalah penting untuk memastikan parti kita dapat berfungsi dengan lebih baik dan sesuai dengan realiti semasa. Ini termasuklah pindaan fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan parti untuk menubuhkan Sayap Ahli Bersekutu,” katanya.

Teks Ucapan Dasar YAB PM - PAT BERSATU Nov 2020

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here